fbpx
Putera (kiri) menujukkan sebahagian daripada menu yang disediakan di Dewan Menara Kumpulan Risda di Jalan Ampang Ulu 3, Kuala Lumpur baru-baru ini.

RSS teroka bisnes penganjuran bufet Ramadan  

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

                                                                                                                    KUALA LUMPUR –  Setelah 10 tahun terlibat dalam bidang pengurusan acara dan katering, anak syarikat Risda iaitu Risda Security and Services Sdn. Bhd.  (RSS) menceburi bisnes penganjuran bufet Ramadan bertempat di Dewan Menara Kumpulan Risda di  Jalan Ampang Ulu 3, dekat sini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Putera Sidek berkata, penganjuran bufet Ramadan buat julung kali pada bulan Ramadan ini adalah langkah baharu syarikat untuk memperkukuhkan kedudukan syarikat dalam industri katering dan hospitaliti.

Beliau optimis terhadap langkah awal syarikat dalam bidang tersebut memandangkan syarikat telah memiliki pengalaman luas dalam bidang katering dan penganjuran acara selain jenamanya yang bertapak kukuh dalam industri tersebut memberi keyakinan dalam kalangan masyarakat untuk datang berkunjung ke dewan tersebut untuk berbuka puasa.

“Tawaran bufet ini juga bakal mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai kerana syarikat telah menjalin kerjasama strategik dengan Rumah Makan Patin Pasu berdasarkan kepakaran restoran itu dalam menyediakan masakan Melayu asli, sekali gus menjamin kualiti hidangan yang ditawarkan kepada pelanggan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pengenalan bufet Ramadan bertemakan Warisan Citarasa Asli 2 Benua di dewan tersebut baru-baru ini.

Bufet ramadan tersebut menawarkan 80 hidangan istimewa yang akan bermula dari 23 Februari hingga 18 Mac ini yang menawarkan gabungan unik masakan tradisional Melayu dan sajian Barat bagi memenuhi selera pelbagai lapisan masyarakat.

Selain itu, Pengasas bersama Rumah Makan Patin Pasu, Ridzuan Anuar menjelaskan, menu yang dihidangkan setiap hari akan dibahagikan kepada tiga set menu secara bergilir (Set A, B dan C) bagi memastikan kepelbagaian serta mengelakkan pengunjung berasa jemu.

Antara tarikan utama termasuk daging salai, itik salai dan keli salai yang dimasak mengikut resipi tradisi Melayu.

Bagi penggemar hidangan Barat pula, menu seperti kambing bakar, lamb stew, lasagna serta pelbagai pilihan pasta dan sajian Itali turut disediakan, dikendalikan oleh cef bertauliah.

Dewan yang terletak di tengah ibu kota itu mampu menampung sehingga 500 tetamu pada satu-satu masa serta dilengkapi kemudahan surau dan parkir percuma.

Suasana berbuka turut diserikan dengan persembahan live band bagi menambah kemeriahan Ramadan.

Harga bufet ditawarkan pada kadar RM139 bagi dewasa, RM110 untuk staf dan pesara RISDA, manakala RM88 bagi kanak-kanak berusia tujuh hingga 11 tahun serta warga emas 60 tahun ke atas.

Diskaun turut diberikan kepada tempahan berkumpulan, iaitu potongan 10 peratus bagi 30 hingga 40 orang dan 15 peratus untuk tempahan melebihi 41 orang. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI