KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki negara, Justin Hoh tidak dapat meneruskan kemaraan ke pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Jerman selepas ditunjukkan jalan keluar sebentar tadi.
Pada aksi pusingan pertama di Westenergie Sporthalle, Mulheim sebentar tadi, bekas juara remaja Asia itu terpaksa akur tewas menerusi keputusan tiga set 17-21, 21-12, 8-21 kepada pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu.
Justin memulakan perlawanan dengan agak perlahan apabila ketinggalan 1-9 di set pertama sebelum kembali merapatkan kedudukan 12-13, namun Cheuk Yiu berjaya mengekalkan fokus dan menang 21-17.
Kekalahan awal itu menyebabkan Justin mula memperkemaskan permainan di set kedua dan ia membuahkan hasil apabila dia menguasai sepenuhnya perlawanan tersebut sebelum menang 21-12 bagi mengheret Cheuk Yiu ke set ketiga.
Bagaimanapun, momentum itu gagal dikekalkan Justin apabila membenarkan pemain lawan kembali mendapatkan keyakinan sehingga ketinggalan 3-10, sekali gus meletakkan Cheuk Yiu dalam keadaan selesa.
Walaupun cuba untuk melakukan kebangkitan dan merapatkan kedudukan, namun ia sudah terlambat memandangkan Cheuk Yiu sudah jauh berada di depan sebelum pemain Hong Kong itu melengkapkan kemenangan 21-8. – KOSMO! ONLINE














