GEORGE TOWN – Siapa sangka, berkat usaha mengulang kaji pelajaran bersama ibunya sehingga sanggup berkorban masa tidur akhirnya membuah hasil apabila dia berjaya meraih keputusan cemerlang 9A dalam Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (UPKK) 2025.
Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bayan Lepas, Aleesya Dania Muhammad Hakim, 12, mengakui yang dia tidak menyangka memperoleh keputusan cemerlang hasil usaha kerasnya selama sebulan sebelum menduduki peperiksaan sebenar.
“Memang tak jangka dapat semua A sebab ada juga subjek yang susah dan memerlukan masa untuk berfikir. Saya ambil masa mengulang kaji secara serius dalam masa sebulan sebelum peperiksaan bermula.
“Waktu itu, ibulah jadi peneman ketika saya ulang kaji sampai tengah malam. Ibu pun sama-sama buat latihan dan jawab soalan bersama. Kejayaan ini bukti usaha keras mengulangkaji dengan ibu pada setiap malam,” katanya di sini, petang tadi.
Jelas anak sulung daripada tiga beradik itu, kesungguhan ibunya, Nor Sarini Mohd. Noor, 38, dan ayah, Muhammad Hakim Baharuddin, 38, serta guru-guru di Kafa SK Seri Bayu menjadi penguat untuknya meraih kecemerlangan dalam UPKK 2025.
“Saya korban masa tidur dan rehat selama sebulan. Dalam tempoh itu, saya buat latihan yang ibu sediakan, hadiri ke kelas tambahan Kafa dan ikuti kelas tuisyen…akhirnya penat itu berbaloi, berkat sokongan ibu dan ayah, serta guru-guru di Kafa,” ujarnya lagi.
Beritahu Aleesya, kejayaan yang diperoleh hari ini bukannya untuk dirinya seorang malah akan menjadi contoh kepada dua adiknya untuk sama-sama meraih kejayaan kelak.
“Saya nak adik-adik ikut sama belajar bersungguh-sungguh, dapat keputusan cemerlang dan banggakan ibu dan ayah,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan seramai 24,761 daripada 251,392 calon yang menduduki UPKK 2025 berjaya mencatat keputusan cemerlang bagi semua sembilan mata pelajaran.
Mata pelajaran itu ialah al-Quran, Akidah, Sirah, Adab, Jawi dan Khat, Bahasa Arab, Ibadah, Penghayatan Cara Hidup Islam serta Amali Solat.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan pada Majlis Pengumuman Keputusan UPKK 2025 yang berlangsung di Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi Saidina Uthman bin Affan, hari ini. – KOSMO! ONLINE














