fbpx
Xin En (kiri) dan Chwen Yih (tengah) ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2025 di Majlis Peperiksaan Malaysia, hari ini. Foto oleh AMIR KHALID/KOSMO!

Dua pelajar OKU penglihatan kongsi rahsia raih PNGK 4.00 STPM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELAYANG – “Jangan tengok luaran sahaja. Mungkin kami ada kemampuan yang orang lain tidak tahu,”

Demikian harapan pelajar terbaik kebangsaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 kategori rabun, Saw Xin En yang berharap golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan diberi peluang membuktikan kemampuan mereka, khususnya dalam alam pekerjaan.

Pelajar Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin, Georgetown, Pulau Pinang itu berkata, golongan OKU penglihatan tidak seharusnya dinilai berdasarkan kekurangan fizikal semata-mata kerana mereka juga mampu bersaing jika diberi peluang.

“Saya harap masyarakat boleh beri kami peluang, terutama dalam pekerjaan. Jangan tengok luaran sahaja. Mungkin kami ada kemampuan yang mereka tidak tahu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2025 di sini, hari ini.

Xin En memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 selepas meraih gred A dalam Pengajian Am, Ekonomi, Pengajian Perniagaan dan Perakaunan.

Dia berkata, sebagai pelajar kurang penglihatan, cabaran utama ialah tidak dapat melihat tulisan guru di papan hitam, namun keadaan itu diatasi dengan bantuan guru dan rakan-rakan selain memanfaatkan teknologi.

“Guru semua baik, kalau mengajar mereka akan membaca dengan kuat untuk saya dengar. Tapi kalau saya tak sempat salin nota, saya pinjam buku daripada kawan.

“Saya juga ambil gambar papan hitam menggunakan telefon bimbit dan besarkan imej itu untuk menyalin semula nota,” katanya.

Mengulas mengenai masa depan, anak sulung daripada dua beradik ini berkata, minatnya terhadap bidang perniagaan kini beralih kepada pengurusan dan undang-undang selepas mengambil kira kekangan yang dihadapi pelajar OKU penglihatan dalam beberapa kursus yang banyak melibatkan graf dan angka.

Sementara itu, seorang lagi penerima anugerah, Yeoh Chwen Yih dari Sekolah St. John’s Institution, Kuala Lumpur yang muncul Pelajar Terbaik Kebangsaan STPM 2025 Kategori Buta turut membuktikan kekurangan penglihatan bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan apabila meraih PNGK 4.00.

Pelajar yang memperoleh gred A dalam Pengajian Am, Sejarah, Ekonomi dan Pengajian Perniagaan itu berkata dia hanya tidur kira-kira enam jam sehari sepanjang membuat persediaan menghadapi STPM.

“Ketika di sekolah, dibantu dengan buku teks Braille, komputer riba serta perisian pembaca skrin, selain bantuan guru dan rakan-rakan ketika sesi pembelajaran di dalam kelas.

“Bagaimanapun saya tidak nafikan, cabaran apabila tidak nampak cikgu tulis di papan hitam. Biasanya saya akan minta tolong kawan tolong ambil gambar kemudian saya akan guna AI untuk imbas
gambar dan diterjemahkan ke dalam tulisan,” katanya.

Menurutnya, dia juga bercita-cita menjadi peguam kerana berpendapat bidang perundangan memberi peluang lebih luas untuk individu bersaing berdasarkan keupayaan berfikir secara strategik.

Dalam majlis yang sama, Chwen Yih dan Xin En masing-masing membawa pulang cek cura bernilai RM1,000 beserta trofi dan sijil penghargaan.

Mereka juga antara 57 pelajar yang bakal menerima yuran pengajian untuk melanjutkan pelajaran ke Ijazah Sarjana Muda daripada universiti awam.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN