fbpx
Bot yang kami gunakan ketika trip kali ini, ia luas dan selesa (kiri). Sebahagian daripada hasil trip ‘monsoon break’ kami (kanan).

‘Monsoon break’ di perairan Pulau Tioman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APABILA tekong mengumumkan ketibaan ‘monsoon break’, kami berlapan terus mengunci ‘slot’ kali ini. Kami menggunakan perkhidmatan Jat Rompin Bot Charter yang bertempat di Kuala Rompin, Pahang.

Ini merupakan trip pertama kami bagi tahun ini, sembilan hari sebelum bermulanya Ramadan, kiranya trip mencari lauk untuk bulan puasalah.

Kami menggunakan bot berukuruan 43 kaki panjang dan 11 kaki lebar, dilengkapi dengan tandas dan bernadikan enjin berkembar Suzuki 200HP.

Lokasi pancingan kali ini ialah sekitar perairan Rompin dan Pulau Tioman khususnya di luar dari kawasan Taman Laut.

Selepas taklimat dari tekong Angah, kami bertolak keluar dari Kuala Rompin ke lokasi pertama. Angin berkelajuan antara 13 hingga
15 knot, alun dan gelombang agak besar memperlahankan pergerakan bot.

Semasa menempuh alun ke destinasi pertama, awak-awak sempat mempersiapkan set-up untuk kami. Mereka menyarankan menggunakan jig berwarna silver chrome dan berat 60 gram (g).

Selepas menempuh ombak dan angin selama 40 minit, kami tiba di lokasi pertama berupa unjam lama, bot diikat di unjam dan sebahagian daripada kami mengambil tugas untuk mencari umpan berupa ikan-ikan kecil menggunakan apollo.

Shafiq dengan ikan merah sulung trip, dia menggunakan kekili Poseidon 300L dan dipadankan dengan joran Bossna BS Monster Iguana Limited Edition PE 2-4.

Lokasi itu berkedalaman antara 20-30 meter (m), tekong memberitahu kami pancing dasar dan fast jig boleh dicuba. Shafiq sempat menurunkan umpan ikan hidup dan dianugerahi seekor ikan merah.

Saya pula mencuba fast jig menggunakan jig ProZ 60g dan kena seekor tenggiri saiz ‘rempit’. Kejayaan ini dituruti pula oleh Mikael dengan seekor lagi tenggiri menggunakan kaedah fast jig juga.

Tidak terhenti di situ, kami turut menaikkan pelbagai spesies ikan lain dengan jig seperti kerapu dan remong.

Sementara itu, tekong dan awak-awak meriah dengan hasil pelbagai spesies ikan kerapu apabila mereka pancing dasar menggunakan umpan hirisan ikan. Tekong juga sempat
mencandat seekor sotong katak saiz kasar.

Kami masih lagi di unjam yang sama, kemeriahan pelbagai tangkapan ikan tadi surut sebentar, mungkin ikan di bawah menjadi culas.

Tetapi keadaan sunyi itu tidak lama, suasana kembali riuh selepas lima keping jig ‘dicukai’ ikan serentak. Rentetan dari itu, awak-awak memasang perambut dawai dan seekor tenggiri batang saiz kasar berjaya dinaikkan.

Selepas itu keadaan menjadi sepi semula, alun semakin tinggi dan seorang demi seorang ‘tumbang’ dan hanya mampu terbaring.

Sementara menunggu angin sedikit reda untuk ke lokasi seterusnya, ada di antara kami gagah memancing dasar menggunakan umpan hirisan ikan serta sotong dan hasilnya tidak mengecewakan apabila lebih
10 ekor ikan cermin dipancing.

Sebelum bergerak, sempat Fadzli memainkan jig dan kena seekor lagi tenggiri.

Bottom drift

Awak-awak menyiapkan perambut untuk bottom drift semasa bot bergerak ke lokasi seterusnya yang berkedalam antara 50-70m.

Pemberat yang kami gunakan antara saiz 14 dan 16. Target utama sudah semestinya ikan merah dan kerapu saiz kasar.

Selepas beberapa kali berhanyut, tidak kelihatan ikan merah yang dihajati, hanya ikan kerapu yang sudi menjamah umpan.

Jam hampir menunjukkan pukul 5.30 petang, tekong mengambil keputusan untuk ke lubuk terakhir. Ia merupakan kawasan unjam, kami menurunkan apollo untuk mencari umpan kegunaan hari esok.

Mikael menurunkan umpan seekor ikan, hasilnya seekor ikan aruan tasik yang membuat huru- hara membelit semua tali yang ada di dalam air.

Selepas itu, suasana menjadi senyap dan tekong mengambil keputusan untuk balik bermalam di Kampung Juara Pulau Tioman.

Hari terakhir

Pukul 8 pagi, kami sudah siap bersedia di dalam bot. Hari ini, angin tidak sekuat semalam, berkelajuan dalam 10 knot. Kami akan bermula memancing dari Pulau Tioman dan beransur pulang ke Kuala Rompin.

Agenda pertama ialah bottom drift di lubuk berkedalaman antara 70 hingga 80 meter. Tekong meng­ingatkan supaya tiada ikan yang rabut atau pun putus. Jika ia berlaku, maka kawanan ikan akan lari dari lubuk.

Labuhan pertama umpan terus bersahut sekumpulan ikan merah yang galak. Berbagai saiz berjaya kami naikkan, rata-rata antara satu hingga tiga kilogram seekor.

Selepas beberapa kali berhanyut, kawanan ikan merah yang tadi galak tiba-tiba hilang. Ia bertukar pula menjadi kumpulan ikan kerapu. Betul-betul kami bergasak sakan ikan ketika itu.

Tiba-tiba umpan Zul dirembat sesuatu yang kasar. Kami memberi laluan kepadanya untuk bertarung bagi mengelakkan tali berbelit se­perti kes semalam dan seekor aruan tasik dinaikkan.

Selepas beberapa kali berhanyut, tekong mengubah lokasi seterusnya dan begitulah rutin kami berhanyut beberapa kali di setiap lubuk me­­ngutip ikan-ikan dasar.

Bot berhenti di lokasi terakhir di satu unjam berdekatan darat untuk memainkan apollo bagi memenuhkan tong sehinggalah trip tamat pada tengah hari itu.

Walaupun angin dan ombak adalah cabaran utama sewaktu trip ini, namun kami selamat pergi dan balik dan memperolehi hasil yang lumayan. Trip di kala ‘monsoon break’ ialah satu pengalaman yang tidak akan kami lupakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN