EPISOD ‘hitam’ tragedi bola sepak negara membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya kini memasuki babak terakhir apabila keputusan perbicaraan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) bakal diketahui secara rasmi awal pagi esok.
Menerusi laporan portal ASEAN Football, perbicaraan kes melibatkan tujuh pemain warisan dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang menerima hukuman berat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah berlangsung di Lausanne, Switzerland sejak Isnin lepas.
Kata laporan tersebut, rayuan yang difailkan FAM bukan bertujuan mencabar keputusan terdahulu, sebaliknya hanya memohon pengurangan hukuman penggantungan 12 bulan yang dikenakan oleh FIFA terhadap tujuh pemain pada September tahun lalu.
“Hukuman tersebut sebelum ini dijatuhkan susulan isu kelayakan dan dokumentasi yang mencetuskan polemik dalam skuad kebangsaan.
“Justeru, FAM mengambil pendekatan lebih realistik dengan tidak mempertikaikan hukuman FIFA, sebaliknya berharap panel CAS dapat mempertimbangkan bukti yang dikemukakan bagi meringankan tempoh penggantungan semua pemain terbabit.
“Difahamkan, keputusan boleh diumumkan sejurus tamat prosiding tanpa perlu menunggu tempoh lama, malah bakal diketahui seawal pukul 5 pagi, Jumaat ini waktu Malaysia,” kata laporan tersebut.
Selain hukuman terhadap pemain, FAM turut diperintahkan untuk membayar denda sebanyak CHF 350,000 (RM1.8 juta) kepada FIFA seperti yang diputuskan Jawatankuasa Tatatertib FIFA pada September lepas.
Lebih malang, FIFA turut membatalkan keputusan tiga aksi persahabatan Harimau Malaya menentang Cape Verde, Singapura dan Palestin selepas mendapati FAM melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025) kerana menurunkan pemain yang tidak layak.
Tujuh pemain yang dihukum FIFA adalah Facundo Garces, Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.














