fbpx
Antara peralatan yang digunakan dalam kegiatan pemalsuan visa antarabangsa dirampas JIMWPKL.

Dalang sindiket ‘David Lawrence’ dijel 45 bulan, gagal bayar denda RM112,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sindiket ‘David Lawrence’ yang menawarkan visa palsu ke negara Eropah dengan bayaran sehingga RM20,000 bagi setiap dokumen ditumpaskan pihak Jabatan Imigresen (JIM) Kuala Lumpur.

Timbalan Pengarah Imigresen Negeri (Kawalan) Kuala Lumpur, Marina Habibon berkata, kejayaan itu adalah hasil operasi risikan selama tiga bulan oleh Sektor Risikan, Bahagian Penguatkuasa JIMWPKL.

Sindiket ‘David Lawrence’ didalangi pasangan suami isteri warga Bangladesh berusia dalam lingkungan 30-an dan dipercayai aktif sejak lapan bulan lalu.

“Mereka memproses visa antarabangsa palsu untuk pelanggan di Bangladesh sebelum dokumen dihantar ke Malaysia melalui kurier antarabangsa untuk dipalsukan bagi tujuan perjalanan ke Eropah,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Menurut beliau, bertindak atas maklumat, pihaknya melakukan serbuan pada 10 Februari lalu di sebuah rumah di Sungai Besi yang dijadikan markas operasi sindiket berkenaan.

“Beberapa pasport Bangladesh, cap palsu negara asing, slip imigresen disyaki palsu, telefon bimbit, komputer riba dan peralatan lain yang digunakan dalam kegiatan tersebut turut dirampas,” katanya.

Pada 23 Februari lalu, kedua-dua suspek didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur dan mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan. Mahkamah menjatuhkan hukuman denda keseluruhan RM112,000.

Bagaimanapun, selepas gagal membayar denda, kedua-dua tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara selama 45 bulan. Selepas selesai menjalani hukuman, mereka akan dihantar pulang ke negara asal dan disenaraihitamkan daripada memasuki Malaysia.

“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pemalsuan dokumen dan pelanggaran undang-undang imigresen di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta peraturan berkaitan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN