KUALA LUMPUR – Kerajaan mempergiat pemantauan kandungan ideologi berunsur melampau serta menyediakan naratif balas bagi mengekang pengaruh ekstremisme, radikalisme dan penyelewengan ideologi.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli berkata, langkah tersebut dilaksanakan dengan kerjasama agensi keselamatan dan pengawal selia komunikasi termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kerajaan turut memperketat sistem pentauliahan melalui peperiksaan dan temu duga bagi memastikan hanya pendakwah berkelayakan diberikan tauliah, selaras dengan amalan di kebanyakan negeri.
“Pemantauan ini akan terus dilaksanakan secara bersepadu bersama Jabatan Agama Islam negeri masing-masing bagi memastikan Islam difahami dan diamalkan secara seimbang, berautoriti dan berlandaskan rahmah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) berkenaan langkah kerajaan dalam memperkukuh pendidikan awam, dakwah digital dan literasi agama supaya institusi mufti kekal sebagai rujukan utama umat Islam.
Tambahnya, kerajaan komited memperkasakan institusi mufti melalui pendigitalan akses fatwa dan pandangan hukum agar lebih mudah dicapai masyarakat.
Jelas Marhamah, pendidikan literasi agama diperluas menerusi pendekatan sosial dan santai, manakala dakwah berautoriti diperkukuh melalui platform rasmi sama ada secara digital atau bersemuka.-KOSMO! ONLINE.














