PETALING JAYA – Pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Mohd. Kazim Elias dibenarkan keluar hospital semalam selepas menunjukkan perkembangan yang positif.
Perkara itu dimaklumkan abangnya, Datuk Mohd. Najmuddin yang menyifatkan ia sebagai khabar yang menggembirakan bagi seluruh ahli keluarga serta peminat pendakwah tersebut.
Menurutnya, keadaan Ustaz Kazim semakin baik, namun orang ramai dinasihatkan agar tidak melawat buat sementara waktu bagi memberi ruang untuk berehat dan pulih sepenuhnya.
“Adik saya dibenarkan keluar dari hospital dan sedang berehat di rumah. Perkembangan positif ini amat menggembirakan kami ahli keluarga dan seluruh peminatnya. Kami berharap agar beliau beransur pulih.
“Di kesempatan ini, saya bagi pihak keluarga ingin mengucapkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada doktor dan staf KPJ Ipoh serta seluruh rakyat Malaysia yang mendoakannya selama ini,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Najmuddin berkata, buat masa ini hanya ahli keluarga terdekat dibenarkan melawat Ustaz Kazim. Pihak hospital akan melakukan rawatan susulan terhadap pendakwah itu berikutan terdapat implikasi lain melibatkan jantungnya.
“Apapun saya menyarankan orang ramai agar tidak menziarahi beliau buat seketika sehingga pulih sepenuhnya. Buat masa sekarang hanya keluarga terdekat yang dibenarkan menziarahi.
“Pihak hospital beritahu rawatan susulan tetap akan dilakukan kerana terdapat implikasi jantung yang lain. Terima kasih kepada semua, kami amat menghargai segala doa dan sokongan,” ujarnya.
Perkongsian itu melegakan ramai pihak yang sebelum ini mengikuti perkembangan kesihatan Ustaz Kazim dan tidak putus-putus menitipkan doa agar beliau segera sembuh.
Sebelum ini media melaporkan Ustaz Kazim dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital, sekali gus mengundang kebimbangan orang ramai.
Menerusi video yang dikongsikan, Ustaz Kazim dilihat berada di atas katil hospital sambil ditolak masuk ke ICU.- KOSMO! ONLINE














