JAKARTA – Seorang wanita di Lumajang, wilayah Jawa Timur mengundang perhatian ramai apabila memarahi seorang guru kerana mencukur rambut anaknya sebagai hukuman selepas dia ditangkap merokok di kawasan sekolah, lapor laman berita Detik.
Rakaman video dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @folkshiff menunjukkan wanita terbabit berkata, merokok perkara remeh dan tidak memerlukan hukuman yang melampau.
Selain mendakwa suaminya adalah seorang pegawai polis, dia ingin menyaman pihak sekolah sekiranya mereka tidak memberikan penjelasan terhadap klip video tular mengenai anaknya.
“Suami saya pegawai polis. Saya akan menyaman pihak sekolah ini,” kata wanita itu di dalam video.
Rakaman itu mencatatkan lebih 30,800 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Cara-cara untuk memalukan diri sendiri,” kata seorang netizen.
“Kalau suami anda (wanita berkenaan) pegawai polis kenapa? Anak boleh selamba menghisap rokok di sekolah?” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI














