PETALING JAYA – Isu membabitkan aktiviti dakwah jalanan oleh Multiracial Reverted Muslim (MRM) susulan tindakan pihak berkuasa tempatan merampas reruainya di sekitar Bukit Bintang akhirnya mencapai jalan penyelesaian.
Pendakwah bebas, Firdaus Wong dalam satu hantaran di laman Facebook memaklumkan beliau telah berjumpa dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Azman Abidin bagi mengadakan satu pertemuan susulan isu melibatkan reruai Street Dakwah MRM yang dirampas oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 17 Februari lalu.
Menurutnya, perbincangan yang berlangsung hampir 45 minit itu berjalan dalam suasana baik dan profesional.
“Dihubungi oleh pegawai kepada Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin untuk satu pertemuan bagi membincangkan kontroversi reruai Street Dakwah MRM yang dirampas DBKL.
“Perbincangan hampir 45 minit. Datuk Azman menzahirkan sokongan kepada usaha dakwah MRM,” katanya.
Mengulas hasil pertemuan itu, Firdaus berkata terdapat perkembangan positif berhubung status barangan yang disita.
“Konklusi dari perbincangan? Barangan street dakwah MRM yang dirampas DBKL akan dipulangkan dan Street Dakwah MRM diteruskan macam biasa,” ujarnya.
Terdahulu, pada hari pertama cuti Tahun Baharu Cina, DBKL telah merampas khemah dan pelbagai bahan dakwah lain atas alasan menghalang laluan pejalan kaki serta turut mendakwa telah menunggu wakil MRM lebih 30 minit sebelum bertindak mengikut peruntukan undang-undang keselamatan awam. – KOSMO! ONLINE














