KUALA LUMPUR – Seramai 51,363 pekerja telah menerima manfaat di bawah Dasar Gaji Progresif (DGP) setakat 31 Disember tahun lalu.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, seramai 4,025 majikan melaksanakan kenaikan gaji berdasarkan insentif DGP bagi tempoh sama.
“Dalam tempoh sama, daripada 5,910 majikan yang memohon menyertai inisiatif itu, 83.4 peratus telah melaksanakan kenaikan gaji mengikut syarat insentif DGP.
“Sektor tertinggi mengemukakan tuntutan insentif DGP adalah perdagangan borong dan runcit serta pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman mengenai keberkesanan pelaksanaan gaji progresif dan tahap pematuhan sektor swasta.
Khairul Firdaus berkata, DGP berjaya meningkatkan gaji median pekerja setakat 31 Disember 2025, khususnya bagi pekerja peringkat permulaan yang bekerja dalam tempoh 12 bulan.
Menurut beliau, kenaikan gaji adalah sebanyak RM300 daripada RM1,900 kepada RM2,200 iaitu peningkatan 16 peratus.
Kata beliau, bagi pekerja yang bekerja melebihi 12 bulan, gaji median meningkat RM238.85 kepada RM2,999.15 iaitu sekitar 11 peratus.
Khairul Firdaus namun mengakui terdapat cabaran sepanjang dua tahun pelaksanaan DGP termasuk kesukaran majikan melaksanakan kenaikan gaji minimum enam peratus.
“Kadar pematuhan latihan yang masih rendah dalam kalangan majikan kecil serta kekurangan pendedahan mengenai kaedah permohonan dan penggunaan platform latihan dalam talian,” katanya. – KOSMO! ONLINE














