fbpx
Ladang angin skala besar didirikan di Laut Utara di tengah Lautan Atlantik di sebelah timur United Kingdom itu menunjukkan teknologi moden semakin maju dalam menghadapi cabaran alam sekitar.

Hebat! Bina ladang angin terbesar di tengah laut dalam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERALIHAN dunia kepada tenaga hijau kini semakin pesat apabila projek ladang angin luar pesisir terbesar dunia, Hornsea 3 di United Kingdom mula memasuki fasa pembinaan utama dengan pemasangan monopile pertama di Laut Utara.

Projek mega yang dibangunkan sebuah syarikat tenaga itu dijangka mampu menjana kapasiti sehingga 2.9 gigawatt (GW), sekali gus membekalkan elektrik kepada lebih 3.3 juta rumah di UK apabila siap sepenuhnya pada 2027.

Pembangunan Hornsea 3 dianggap sebagai pencapaian besar dalam sejarah tenaga boleh diperbaharui dunia kerana ia bakal menjadi ladang angin luar pesisir tunggal terbesar pernah dibina.

Projek di tengah lautan dalam itu terletak kira-kira 120 kilometer dari pantai Norfolk dan Yorkshire di Laut Utara, kawasan yang terkenal dengan kelajuan angin stabil dan sesuai untuk penjanaan tenaga berskala besar.

Menurut kenyataan daripada syarikat pakar pemasangan tenaga angin luar pesisir yang berpangkalan di Copenhagen, Denmark, Cadeler, Hornsea 3 sebenarnya adalah sebahagian daripada pembangunan zon tenaga angin Hornsea yang lebih besar.

“Sebelum ini, Hornsea 1 dan Hornsea 2 telah berjaya beroperasi dan menjadi antara ladang angin luar pesisir terbesar dunia.

“Hornsea 1 mula menjana kuasa pada 2019 dengan kapasiti sekitar 1.2GW, manakala Hornsea 2 pula beroperasi selepas itu dengan kapasiti lebih besar sekitar 1.3GW,” katanya dalam satu kenyataan di portal Interesting Engineering baru-baru ini.

Kerja-kerja pemasangan monopile dilakukan dengan menggunakan teknologi tinggi.

Sejarah pembangunan tenaga angin luar pesisir di Britain bermula sejak awal 2000-an apabila negara itu berusaha mengurangkan pergantungan kepada bahan api fosil.

Kedudukan geografi Britain yang dikelilingi laut dan menerima tiupan angin kuat sepanjang tahun menjadikannya lokasi ideal untuk teknologi ini.

Dalam tempoh dua dekad, UK berkembang menjadi antara peneraju dunia dalam sektor tenaga angin luar pesisir dengan projek berskala besar seperti Dogger Bank dan Hornsea.

Menurut pengarah projek Cadeler, Bradley Scott, pemasangan monopile pertama bagi Hornsea 3 menjadi simbol penting kemajuan projek itu.

“Monopile ialah struktur keluli gergasi yang dipacak jauh ke dasar laut untuk menyokong menara turbin angin.

“Setiap monopile projek tersebut mempunyai panjang sekitar 90 meter dan berat purata 1,670 tan. Struktur itu perlu dipasang dengan ketepatan tinggi kerana ia menjadi asas utama kestabilan turbin di tengah lautan yang sentiasa berdepan ombak besar serta angin kencang,” ujarnya.

Tambahnya, proses pemasangan dilakukan menggunakan kapal khas milik syarikat Denmark, Cadeler yang direka untuk mengendalikan monopile bersaiz XXL.

Kapal Wind Ally digunakan untuk membawa dan memasang struktur berkenaan di dasar laut, manakala kapal lain seperti Wind Orca membantu pemasangan komponen tambahan.

Keseluruhan operasi memerlukan koordinasi kompleks antara jurutera, kru kapal, pakar laut dan syarikat tenaga antarabangsa.

Kongsinya lagi, fungsi utama ladang angin luar pesisir seperti Hornsea 3 ialah menghasilkan elektrik bersih tanpa pelepasan karbon tinggi seperti loji arang batu atau gas asli.

“Turbin angin yang dipasang di laut memanfaatkan tiupan angin konsisten untuk memutarkan bilah turbin, lalu menghasilkan tenaga elektrik yang disalurkan ke daratan melalui kabel dasar laut berteknologi tinggi.

“Baru-baru ini, projek Hornsea 3 turut berjaya menyambungkan kabel eksport pertama ke pantai Britain, menandakan kemajuan penting dalam sistem penghantaran tenaga projek tersebut,” katanya.

Selain membekalkan tenaga bersih kepada jutaan rumah, projek ini juga memainkan peranan besar dalam membantu UK mencapai sasaran sifar karbon bersih menjelang 2050.

Kerajaan Britain melihat tenaga angin luar pesisir sebagai komponen utama strategi keselamatan tenaga negara, terutama selepas krisis tenaga global dan ketidaktentuan geopolitik yang meningkatkan harga bahan api fosil di seluruh dunia.

Dalam konteks ekonomi pula, pembangunan Hornsea 3 membuka ribuan peluang pekerjaan dalam bidang kejuruteraan marin, pembinaan, logistik dan teknologi tenaga boleh diperbaharui.

Banyak pelabuhan di Britain turut menerima manfaat daripada projek itu kerana dijadikan pusat pemasangan, penyelenggaraan dan penghantaran komponen turbin angin bersaiz gergasi.

Kata Scott lagi, pembangunan ladang angin luar pesisir juga menunjukkan bagaimana teknologi moden semakin maju dalam menghadapi cabaran alam sekitar.

“Jika dahulu pemasangan turbin di laut dalam dianggap terlalu sukar dan mahal, kini inovasi struktur monopile, kapal pemasangan khas dan sistem kabel dasar laut membolehkan projek gergasi seperti Hornsea 3 direalisasikan.

“Perkembangan ini turut memberi inspirasi kepada banyak negara lain untuk memperluas penggunaan tenaga hijau di kawasan pesisir mereka,” jelasnya.

Walaupun terdapat cabaran seperti kos pembinaan tinggi, keadaan cuaca ekstrem dan isu penyelenggaraan di tengah laut, industri tenaga angin luar pesisir terus berkembang kerana potensinya sangat besar.

Di media sosial dan forum antarabangsa, ramai melihat projek Hornsea 3 sebagai bukti bahawa tenaga boleh diperbaharui kini mampu menjadi sumber tenaga utama bagi sesebuah negara.

“Pemasangan monopile pertama Hornsea 3 bukan sekadar pencapaian teknikal, tetapi lambang transformasi global ke arah masa depan tenaga yang lebih bersih dan lestari.

“Dengan keupayaan menjana elektrik untuk jutaan rumah, projek ini bakal mengukuhkan kedudukan Britain sebagai antara peneraju dunia dalam tenaga angin luar pesisir serta menjadi contoh penting bagaimana teknologi hijau mampu membentuk sistem tenaga masa depan dunia,” tambah Scott.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN