SEREMBAN – Seorang pekerja gudang penghantaran syarikat dalam talian didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol remaja perempuan berusia 18 tahun pada Ogos tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Amirul Iman Othman Bakri, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa remaja perempuan berusia 18 tahun satu bulan ketika kejadian di sebuah bilik hotel di Kuala Pilah lebih kurang pukul 3 petang pada 16 Ogos 2025. Kes didakwa di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin. Peguam Syed Amirul Syed Edros yang mewakili tertuduh memohon jaminan minima RM6,000 atas alasan tertuduh berpendapatan RM1,500 sebulan dan tiada pendapatan sejak ditahan pada 11 Februari lalu.
Tertuduh akan dijamin oleh ibunya dan dia tidak mampu menyediakan jumlah jaminan yang tinggi. katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 1 April depan bagi serahan dokumen.-KOSMO! ONLINE














