PETALING JAYA – Sebahagian pihak pengurusan masjid sanggup membayar sehingga RM1,000 satu malam kepada seorang imam solat sunat tarawih sepanjang Ramadan tahun ini.
Bayaran lumayan itu sebagai penghargaan terhadap kepakaran serta bacaan al-Quran yang merdu dan sangat baik sehingga dapat menarik lebih ramai jemaah hadir ke masjid.
Di Kuala Lumpur, seorang imam tarawih terutama jemputan dari luar negara dibayar kadar elaun hampir RM1,000 setiap malam dan mampu mencecah RM30,000 sebulan.
Bagi imam jemputan tempatan, kadar elaun pula akan dibayar mengikut jam iaitu RM200 hingga RM300 sejam.
Jurucakap masjid berkata, kebiasaannya pada bulan Ramadan, pihaknya akan menjemput seorang imam terkenal dari Mesir untuk memimpin solat sunat tarawih.
Katanya, imam jemputan tersebut dibayar RM1,000 setiap malam dan hanya bertugas dari solat maghrib sehingga selesai tarawih.
“Selain itu, kita menyediakan imam kedua jika imam jemputan ini tidak sihat atau ada kes kecemasan. Imam ini juga sudah lima tahun kita jemput.
“Walaupun dibayar agak lumayan, namun kos ini ditanggung oleh seorang penderma dan ia tidak menggunakan dana masjid atau kerajaan,” katanya kepada Kosmo!.
Seorang lagi jurucakap sebuah masjid lain berkata, pihaknya pula melantik dua imam jemputan untuk mengendalikan solat sunat tarawih tahun ini.
Katanya, imam jemputan itu terdiri daripada rakyat tempatan dan mereka dibayar elaun mengikut jam dan jumlah hari bertugas.
“Kebiasaannya imam tarawih ini adalah imam jemputan iaitu imam selain daripada imam tetap di masjid. Kadar elaun imam jemputan sekitar RM200 hingga RM300 sejam.
“Dalam sehari imam jemputan ini akan bertugas di antara dua hingga tiga jam untuk solat sunat tarawih. Kadar ini pula tertakluk kepada kadar elaun yang dibenarkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya.
Menurutnya, kedua-dua imam jemputan akan bertugas untuk setiap kali solat sunat tarawih dan mereka akan mengimamkan solat secara bergilir-gilir sepanjang bulan Ramadan.
“Selain itu, pada tahun ini, masjid kami turut menjemput bilal dari luar. Kadar elaun bilal jemputan sekitar RM100 hingga RM150 sejam dan akan bertugas dalam tempoh kira-kira tiga jam sehari,” katanya.
Di Bachok, Kelantan, pihak pengurusan Madrasah Ustaz Zain (MUZ), Kampung Cherang, Jelawat sanggup membayar seorang imam dari Kemboja sebanyak RM6,000 sepanjang 25 hari di pondok itu.
Imam Value Hosann, 35, akan memimpin solat subuh, maghrib, isyak dan solat sunat tarawih.
Bendahari MUZ, Zulkifli Abdul Rahman, 56, berkata, kebiasaannya, imam Value akan mendapat lebih RM10,000 sepanjang sebulan menjadi imam tarawih di MUZ dan baki lima hari lagi di Masjid Ar-Rahman, Kampung Pauh Lima selain sumbangan daripada jemaah.
“Sejujurnya, pihak madrasah tidak berkira untuk mengeluarkan peruntukan hasil sumbangan orang ramai untuk membayar Value kerana dia mempunyai suara yang merdu selain sebutan dan bacaan al-Quran sangat baik.
“Pihak kami menguruskan semua dokumen perjalanan termasuk mengambilnya di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan, Rantau Panjang datang ke sini setiap kali sebelum 1 Ramadan,” katanya.
Zulkifli memberitahu, imam Value yang baru mendirikan rumah tangga merupakan seorang ustaz yang mengajar al-Quran di sebuah pusat tahfiz di Wilayah Selatan Thailand.
Katanya, pusat tahfiz tempatnya bekerja tutup sepanjang Ramadan, sekali gus memberi peluang kepada imam Value untuk mencari rezeki di Kelantan.
“Sepanjang berada di sini, MUZ menyediakan semua kemudahan kepada imam Value termasuk tempat tinggal dan hidangan berbuka puasa.
“Kita banyak dengar orang bayar artis atau pempengaruh pada harga mahal untuk urusan dunia. Jadi, tidak salah kita bayar hafiz al-Quran dengan kadar yang berpatutan untuk tujuan agama dan kemahirannya,” katanya.
Sementara itu, Imam Tua Masjid Ar-Rahman, Kampung Pauh Lima, Ibrahim Wahab, 66, berkata, imam Value akan memimpin solat sunat tarawih di masjidnya selama lima hari kerana 25 hari lagi dia akan berada di MUZ.
“Tahun ini, kami panggilnya selama lima hari sahaja dengan bayaran RM200 satu malam untuk memimpin solat sunat tarawih. Seramai empat imam yang juga anak jati Kelantan akan memimpin tarawih kali ini.
“Imam Value beritahu dia pernah bawa pulang RM13,000 termasuk elaun RM6,000 yang diberikan oleh pihak Masjid Ar-Rahman semasa menjadi imam di masjid ini beberapa tahun lalu,” katanya.














