PETALING JAYA – Aliran trafik perlahan di lebuh raya utama menuju ibu negara, susulan pertambahan kenderaan orang ramai petang ini.
Menerusi tangkap layar video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) pada laman web Lembaga Lebuhraya Malaysia, kelihatan deretan panjang kenderaan di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak iaitu di Genting Sempah menuju Kuala Lumpur serta semua lorong memasuki Plaza Tol Gombak menghala ibu negara.
Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara pula memperlihatkan trafik perlahan di Seremban menuju ibu negara serta selepas Plaza Tol Sungai Besi menuju Kuala Lumpur.
Bagi Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, trafik perlahan di Bukit Beruntung menuju Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE














