fbpx
PERHIASAN bercorak geometrik merupakan salah satu elemen penting dalam dekorasi Asia Barat.

Estetika dekorasi ala Asia Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

INSPIRASI dekorasi berkonsepkan Asia Barat semakin mendapat tempat dalam kalangan pemilik kediaman yang inginkan  suasana eksotik, mewah dan penuh karakter. 

Gaya itu sering dikaitkan dengan negara seperti Maghribi, Turkiye, Emiriyah Arab Bersatu dan Iran yang kaya dengan seni bina, tekstil serta motif tradisional. 

Menurut pereka dalaman bebas, Dayana Ramli, keunikan dekorasi Asia Barat terletak pada gabungan warna ‘berani’, corak geometri, tekstur mewah serta elemen seni yang sarat simbolik. 

“Mereka yang ingin mengubah suasana rumah supaya tampil lebih eksklusif dan ‘hangat’, pemilihan warna memainkan peranan penting dalam mewujudkan aura Asia Barat. 

“Palet warna seperti emas, tembaga, merah delima, biru nilam, hijau zamrud dan ungu diraja sering menjadi pilihan utama,” katanya ketika dihubungi CitaRasa baru-baru ini.

Tambahnya, warna-warna itu juga boleh diaplikasikan pada dinding aksen, kusyen, langsir atau permaidani. 

Jika tidak mahu kelihatan terlalu sarat, seimbangkan warna-warna pekat itu dengan tona natural seperti krim, pasir atau putih gading. 

Gabungan tersebut bukan sahaja menyerlahkan elemen mewah, malah mengekalkan keselesaan visual dalam ruang kediaman.

Kongsinya, selain warna, penggunaan tekstil yang kaya dengan tekstur juga menjadi identiti penting dekorasi Asia Barat. 

Fabrik seperti baldu, sutera dan kapas tebal dengan sulaman benang emas mampu menonjolkan suasana elegan. 

“Letakkan kusyen lantai bersaiz besar atau pouf kulit untuk mewujudkan ruang santai ala majlis tradisional Arab. 

TONA natural cukup sesuai dengan dekorasi Asia Barat.

“Permaidani bercorak geometri atau motif bunga yang terperinci boleh dijadikan titik fokus di ruang tamu. 

“Lapisan tekstil yang pelbagai ini memberikan rasa hangat, sesuai untuk ruang keluarga atau menerima tetamu,” ujarnya.

Katanya lagi, elemen pencahayaan juga tidak kurang pentingnya. 

Lampu gantung atau tanglung besi tempa dengan ukiran halus menjadi simbol dekorasi Asia Barat. 

Pemilihan lampu dengan rekaan berlubang akan menghasilkan bayang-bayang dramatik pada dinding dan siling. 

“Cahaya kekuningan yang lembut mampu mencipta suasana romantik dan menenangkan, seolah-olah berada di sebuah riad di Maghribi. 

“Untuk sentuhan tambahan, letakkan lilin aromaterapi berharuman oud atau amber bagi melengkapkan pengalaman sensori,” jelasnya.

“Seterusnya, masukkan unsur seni bina dan hiasan yang berinspirasikan bentuk lengkungan atau gerbang. 

Dayana turut memberitahu, jika tidak mampu mengubah struktur rumah, elemen seperti cermin berbingkai lengkung, kepala katil berbentuk gerbang atau rak dinding bercorak Moor boleh diterapkan. 

Corak geometri Islamik yang berulang-ulang melambangkan kesatuan dan keharmonian, sekali gus memberikan sentuhan artistik mendalam. 

Jubin bercorak atau pelekat dinding bermotif tradisional juga boleh digunakan untuk menaikkan seri dapur atau bilik air.

“Perabot pula sebaiknya dipilih daripada material kayu gelap seperti jati atau mahogani dengan ukiran halus. 

“Meja kopi rendah, almari berukir dan dulang tembaga besar boleh menjadi aksesori yang menonjol. 

“Bagi ruang makan, penggunaan pinggan mangkuk bercorak Asia Barat dan dulang hidangan berkilau mampu menyerlahkan konsep yang diinginkan,” ujar Dayana.

Sentuhan akhir seperti hiasan dinding, kaligrafi atau hasil seni tradisional juga memainkan peranan dalam konsep tersebut.

Lukisan kaligrafi Arab atau seni mozek boleh dijadikan fokus utama pada satu bahagian dinding. 

Tumbuhan hijau seperti pokok palma kecil atau pasu seramik bercorak juga boleh membantu menghidupkan ruang kediaman. 

“Kunci utama dekorasi Asia Barat adalah keseimbangan antara kemewahan dan keselesaan,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN