HARI ini 1 Ramadan, umat Islam mula menunaikan ibadah puasa, justeru sudah ada perancangan berbuka? Di rumah, hotel atau beli juadah di bazar Ramadan?
Baru-baru ini akhbar Kosmo! mendedahkan terdapat pengguna yang sanggup menyimpan duit bermula awal tahun demi menikmati hidangan berbuka puasa di hotel.
Bagi mereka, itu nilai kepuasan di samping peluang mengeratkan silaturahim antara keluarga. Perancangan itu penting dan sekali sekala tidak salah untuk reward diri, asalkan tidak membazir.
Bagaimanapun, penulis percaya bazar Ramadan tetap menjadi pilihan sebahagian besar umat Islam terutama mereka yang bekerja atau individu bujang.
Tidak lengkap rasanya tidak merasai suasana bazar walau sekali. Malah ada yang menyenaraikan bazar popular dan wajib dikunjungi sepanjang Ramadan ini.
Jeritan bingit peniaga bagi menarik perhatian pelanggan, bau asap ayam dan ikan bakar selain bunyi ais ketika dikacau menarik perhatian. Serentak selera jadi kecur. Itu belum lagi melihat deretan lauk-pauk menyelerakan, variasi kuih-muih tradisional dan moden yang memikat selain hidangan tular yang pasti membuatkan orang ramai teringin.
Sudahlah puasa. Penulis pasti pemanis mulut quesillo dari Venezuela antara tarikan diketengahkan peniaga kali ini. Namun, di sebalik semua itu ada ketakutan yang setiap tahun berulang antaranya jualan martabak, namun telur digunakan tidak basuh, karipap kosong selain air balang wallpaper.
Itu tidak termasuk tindakan beberapa peniaga yang tergamak menjual juadah yang tidak habis sehari sebelumnya. Ini antara aduan paling tinggi diterima persatuan pengguna.
Kepada peniaga lama mahupun peniaga instant setiap kali bulan puasa, bazar Ramadan bukan platform menguji kepakaran dan kreativiti anda memasak.
Tolong jangan jual makanan tidak sedap, presentation menarik, tetapi juadah tidak cukup rasa, serba serbi kurang.Kita pasti mahu menikmati makanan yang ‘cukup rasa’.
Jual makanan setaraf dengan portion diberi. Bukan harga tinggi, tetapi portion atau bahagian kecil. Tiada siapa paksa anda berniaga. Kami faham kos tinggi. Biarlah win-win situation.
Kita semua sedar, bazar Ramadan tetap menjadi pilihan dari segi lokasi, masa, harga dan pilihan makanan. Justeru, jujurlah dalam mencari rezeki.
Bagaimanapun, dalam kemeriahan beramai-ramai mengunjungi bazar, ingatlah tentang penularan wabak tuberkulosis (tibi) yang sedang melanda negara ini.
Laporan Kementerian Kesihatan baru-baru ini mendedahkan sebanyak 503 kes baharu dikesan dengan jumlah keseluruhan kes sebanyak 2,571 setakat ini di seluruh negara.
Daripada statistik tersebut, Sabah mencatatkan jumlah kes tertinggi diikuti Selangor, Sarawak, Kuala Lumpur. Tibi boleh merebak melalui udara apabila individu yang dijangkiti bercakap, batu atau bersin.
Oleh itu, dalam keghairahan beringatlah, jangan kita terjangkiti, ambil langkah sewajarnya, kita mahu bermaafan dan melaram di pagi Aidilfitri.
Pakai pelitup muka di tempat sesak dan amalkan kebersihan diri. Ramai tidak sedar anda sebenarnya dijangkiti. Jaga diri dan selamat berpuasa buat pembaca setia Kosmo!.














