fbpx
NEGARA digemparkan dengan kes pembunuhan kejam seorang wanita di Sabah minggu lalu dalam keadaan anggota badan mangsa dikerat-kerat.

Bagaimana manusia boleh sekejam itu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KISAH pembunuhan kejam melibatkan seorang wanita yang dikerat tujuh bahagian di Sabah baru-baru ini bukan sekadar berita jenayah biasa. Ia adalah tamparan keras kepada nilai kemanusiaan dan satu tragedi yang menguji tahap kewarasan masyarakat hari ini.

Sukar untuk difahami bagaimana seorang manusia mampu melakukan perbuatan sekejam itu. Bukan sahaja meragut nyawa, malah memperlakukan jasad mangsa seolah-olah tiada nilai, tiada maruah dan tiada rasa belas.

Setiap kali jenayah seperti ini berlaku, persoalan yang sama akan berlegar iaitu di manakah silapnya? Adakah ia berpunca daripada kegagalan sistem, tekanan hidup, pengaruh dadah atau runtuhnya nilai moral dalam diri pelaku?

Kita sering mendengar alasan seperti cemburu melampau, dendam, masalah mental atau konflik hubungan. Namun, apa jua alasan yang cuba diketengahkan, ia tidak sesekali boleh menghalalkan kekejaman.

Lebih menyedihkan, mangsa dalam kebanyakan kes adalah wanita, iaitu golongan yang sepatutnya dilindungi, dihormati dan dihargai.

Manusia seperti hilang pertimbangan dan dilihat lebih kejam daripada binatang buas.

Ramai yang bertanya, sejauh mana kita sebagai masyarakat peka terhadap tanda-tanda awal keganasan. Adakah jeritan kecil, ancaman halus dan perubahan tingkah laku sebelum ini diambil serius, atau dibiarkan sehingga terlambat?

Justeru, peranan keluarga, rakan dan komuniti menjadi amat penting. Keganasan jarang berlaku secara tiba-tiba. Ia sering bermula dengan kemarahan yang tidak dikawal dan keinginan untuk menguasai.

Pada masa sama, penguatkuasaan undang-undang perlu terus tegas dan berkesan. Hukuman yang setimpal bukan bertujuan membalas dendam, tetapi sebagai peringatan bahawa nyawa manusia bukan sesuatu yang boleh dipermainkan.

Namun, hukuman semata-mata tidak mencukupi. Pendidikan emosi, kesedaran kesihatan mental dan nilai kemanusiaan perlu dipupuk sejak awal agar keganasan tidak menjadi jalan keluar kepada masalah.

Tragedi di Sabah ini seharusnya menjadi titik muhasabah bersama. Ia bukan sekadar kisah jenayah untuk dibaca dan dilupakan, tetapi amaran bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam cara kita menangani kemarahan, hubungan dan tekanan hidup.

Bagaimana manusia boleh sekejam itu? Jawapannya mungkin kompleks, tetapi satu perkara pasti iaitu jika nilai kemanusiaan terus diabaikan, kekejaman akan terus berulang-ulang dan mangsanya mungkin lebih dekat daripada yang kita sangkakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN