KUALA LUMPUR – Orang ramai dinasihatkan supaya mendapat kebenaran pihak berkuasa sebelum membakar mercun sempena sambutan Tahun Baru Cina pada Selasa ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, penggunaan mercun tanpa permit merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 7 dan 8 Akta Bahan Letupan.
Katanya, hanya mercun jenis ‘pop-pop’ atau letupan ringan dibenarkan, manakala mercun yang menghasilkan letupan kuat memerlukan kebenaran daripada pihak berkuasa.
“Kita kerap menerima aduan mercun dibakar waktu tengah malam hingga mengganggu ketenteraman awam, khususnya di kawasan perumahan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perhimpunan #TangkapAzamBaki di Dataran Merdeka di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan rondaan dan pemantauan dalam usaha membanteras penggunaan mercun haram, selain memberi amaran bahawa tangkapan boleh dibuat terhadap individu yang ingkar.
“Rayakan perayaan secara sederhana dan jangan menimbulkan gangguan kepada masyarakat lain,” katanya.
Beliau memaklumkan pihaknya menerima banyak permohonan permit pembakaran mercun sempena perayaan dan ia diproses mengikut prosedur yang ditetapkan.- KOSMO! ONLINE.














