SAUDARA PENGARANG,
Sebagai pengguna jalan raya, saya berasa cukup bengang apabila terpaksa melalui jalan yang permukaannya tidak sekata disebabkan lebihan konkrit yang terjatuh dari lori simen.
Ia bukan sahaja membuatkan pemanduan tidak selesa, malah membahayakan penunggang motosikal dan berlaku kesesakan kerana pemandu perlu memperlahankan.
Saya pasti lebihan simen yang terjatuh dari kenderaan itu tidak disedari oleh pemandunya.
Lokasi sering berlakunya kejadian itu adalah di kawasan berbonggol dan persimpangan lampu isyarat yang terletak di laluan mendaki.
Pihak berkuasa sepatutnya memeriksa kenderaan itu sebelum dibenarkan berada di atas jalan kerana simen tersebut tidak mengambil masa lama untuk mengeras.
Pemandu dan pemilik lori pula jangan lepas tangan. Adalah menjadi tanggungjawab anda untuk memastikan lebihan simen tidak tercicir. Jangan pentingkan diri.
Bengang,
Putrajaya














