KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan tahniah kepada Mohamed Ismi Abdul Majid atas pelantikan beliau sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felcra Berhad yang baharu.
Ahmad Zahid berkata, pengalaman dan kepakaran Mohamed Ismi dalam pengurusan organisasi serta perakaunan dan kewangan diyakini dapat dimanfaatkan bagi meneruskan agenda pengukuhan keupayaan Felcra.
“Khususnya dalam memastikan kesejahteraan peserta terus diberi perhatian serta memperkasa pembangunan luar bandar secara mampan.
“Dengan komitmen seluruh warga Felcra dan kerjasama semua pihak, saya yakin organisasi ini akan terus bergerak lebih progresif,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut menegaskan peranan Felcra penting dalam membina kekuatan ekonomi komuniti desa dan membawa manfaat besar kepada peserta serta pembangunan luar bandar negara.
Menurut laporan media, Mohamed Ismi menggantikan Datuk Idris Lasim yang bersara pada awal Disember tahun lalu selepas lebih tiga dekad berkhidmat bersama Felcra. – KOSMO! ONLINE














