KLUANG – Penduduk Kampung Batu Enam di Machap dekat sini, terpaksa menggunakan air Sungai Ulu Benut bagi membasuh pakaian dan mandi susulan bekalan air di penempatan mereka terjejas sejak minggu lalu.
Langkah itu diambil kira-kira 10 keluarga di kampung berkenaan selepas lori tangki yang sepatutnya membawa bekalan air tidak boleh masuk ke kawasan mereka ekoran struktur jalan.
Seorang penduduk, Norashida Ali, 40, berkata, mereka yang tinggal di lorong belakang masjid di kampung berkenaan hanya akan mendapat bekalan air jika bekalan dihantar menggunakan kenderaan pacuan empat roda.
Menurutnya, sebagai langkah alternatif, Sungai Ulu Benut dijadikan tempat untuk dia sekeluarga mandi selain membasuh pakaian sementara air bersih digunakan untuk memasak.
“Lori tangki tidak boleh masuk kerana bimbang tergelincir ekoran muatan berat. Walaupun air sungai agak cetek namun jernih dan langkah ini dapat menjimatkan bekalan air bersih dibekalkan petugas ke kawasan rumah kami.
“Tidak tahu sampai bila keadaan ini bertahan kerana jika berterusan tanpa hujan kemungkinan air sungai juga akan kering dan hanya tinggal takungan sahaja,” katanya semalam.
Penduduk lain dikenali Rosnah, 45, berkata, kebiasaan ibu bapa akan membawa anak-anak mereka mandi pada waktu petang kerana keadaan cuaca waktu itu agak redup berbanding tengah hari.
“Bagi kaum ibu, kami akan membasuh pakaian pada waktu pagi, walaupun penat, namun ia terpaksa dilakukan demi menjimatkan penggunaan air bersih yang dibekalkan,” katanya.
Kampung Batu Enam di Machap di sini, adalah merupakan salah satu daripada penempatan yang terjejas bekalan air bersih berikutan Bekalan Air Berjadual oleh Ranhill SAJ bermula 7 Februari hingga 24 Februari ini.















