PETALING JAYA – Tokoh wanita negara, Tun Dr. Hasmah Mohamad Ali berusia genap 100 tahun hari ini, sekali gus mencatat satu lagi detik bersejarah sebagai antara figura paling disegani dan dihormati rakyat Malaysia.
Dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor, Dr. Hasmah merupakan antara wanita Melayu terawal yang bergelar doktor perubatan sebelum mencurahkan khidmat dalam bidang kesihatan awam negara.
Isteri kepada Perdana Menteri Keempat dan Ketujuh, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu bukan sahaja dikenali sebagai pendamping setia negarawan tersebut, malah turut meninggalkan jasa besar menerusi pelbagai usaha memperkasakan kesihatan ibu, kanak-kanak dan kesejahteraan masyarakat.
Pada usia satu abad, Dr. Hasmah masih menjadi inspirasi ramai menerusi gaya hidup sihat, disiplin yang diamalkan dan semangatnya yang sentiasa positif.
Sebelum ini, beliau pernah berkongsi pengalaman sebagai bekas pesakit kanser payudara dan menggalakkan wanita menjalani pemeriksaan awal kerana pengesanan awal mampu menyelamatkan nyawa.
Beliau juga dilaporkan masih aktif bermain biola hampir setiap hari sebagai sebahagian daripada rutin kehidupan yang membantu mengekalkan kecergasan minda dan emosi.
Sambutan ulang tahun ke-100 Dr. Hasmah hadir dua hari selepas suaminya meraikan ulang tahun kelahiran ke-101 pada Jumaat lalu sekali gus menjadikan pasangan negarawan itu terus mencuri perhatian rakyat.
Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 1956 dan dikurniakan tujuh cahaya mata. Mereka kekal menjadi antara pasangan paling dikenali dalam sejarah politik dan pembangunan negara. -KOSMO! ONLINE














