KAJANG – Polis sedang menyiasat insiden pertengkaran melibatkan dua penunggang motosikal yang bertindak menghalang sebuah kereta di Jalan Cheras Perdana, Batu 11 Cheras, selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya mengesan satu video dimuat naik dalam kumpulan Facebook ‘Update and Info’ pada pukul 9.30 malam semalam, memaparkan dua individu terbabit dalam pertengkaran serta melakukan halangan terhadap sebuah kenderaan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian sebenar berlaku kira-kira pukul 5.40 petang, Selasa lalu.
“Dua penunggang motosikal berkenaan ketika itu sedang menunda motosikal mereka yang mengalami kerosakan sebelum terlibat dalam pertengkaran mulut serta melakukan halangan terhadap seorang pemandu kereta yang berada di lorong yang betul.
“Tindakan suspek yang melawan arus bagi menghampiri kenderaan tersebut turut mengundang risiko kepada pengguna jalan raya lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 79(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM2,000 jika disabitkan kesalahan.
Naazron meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Saifudin Saadun di talian 011-21119379 bagi membantu siasatan.
“Polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, mengamalkan pemanduan berhemah serta mengawal emosi ketika berada di jalan raya,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














