Laporan terkini mengenai penularan wabak Nipah di India merupakan satu peringatan bahawa virus itu masih wujud dan jangkitan boleh muncul semula.
Pada 26 Januari lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan dua kes jangkitan virus Nipah di Bengal Barat, India melibatkan kakitangan kesihatan berusia sekitar 20 hingga 30 tahun.
Jangkitan itu dikesan pada akhir tahun lalu dan disahkan melalui ujian makmal. Satu kes memerlukan bantuan pernafasan, manakala satu lagi kes mengalami penyakit neurologi teruk tetapi telah menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
Kira-kira 190 individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit telah diuji dan semuanya negatif, tanpa kes lanjutan setakat ini.
WHO menilai risiko penularan di peringkat global dan serantau sebagai rendah. Namun, risiko di peringkat tempatan dianggap sederhana kerana penyakit itu boleh membawa maut.
Sehingga kini, tiada vaksin atau rawatan khusus untuk jangkitan ini.
Sejarah virus Nipah bermula di Malaysia pada tahun 1998 hingga 1999 apabila satu wabak besar berlaku dalam kalangan penternak babi dan komuniti sekitarnya di Perak dan Negeri Sembilan.
Virus itu pertama kali dikenal pasti di Kampung Sungai Nipah, Negeri Sembilan, dan dinamakan sempena kampung tersebut.
Wabak itu telah mengakibatkan 265 kes keradangan otak yang teruk dengan 105 kematian, serta hampir melumpuhkan industri penternakan babi bernilai berbilion ringgit.
Pada peringkat awal, wabak itu disangka sebagai jangkitan radang otak yang disebabkan oleh virus ensefalitis Jepun (JE) hingga menyebabkan langkah kawalan awal tidak berkesan.
Titik perubahan penting berlaku apabila agen penyebab sebenar berjaya dikenal pasti melalui pengasingan virus daripada cecair serebrospina pesakit.
Penyebaran virus Nipah di Malaysia sebelum ini disebabkan oleh pergerakan babi antara ladang, dan antara negeri di Semenanjung.
Pemindahan haiwan ternakan yang dijangkiti telah mempercepatkan penularan virus dalam industri penternakan.
Jangkitan kepada manusia berlaku melalui kontak rapat dengan babi yang dijangkiti, terutama dalam kalangan penternak dan pekerja ladang.
Pada ketika itu, penularan daripada manusia ke manusia dianggap jarang berlaku, walaupun virus Nipah berjaya diasingkan daripada air liur, air kencing serta rembesan hidung dan tekak pesakit.

Siasatan lanjut telah mengenal pasti bahawa kelawar buah daripada spesies Pteropus sebagai perumah semula jadi virus Nipah.
Kelawar ini membawa virus tanpa menunjukkan tanda penyakit dan menyebarkannya melalui air kencing, air liur dan najis. Perubahan persekitaran, termasuk kemusnahan habitat hutan, kemarau berkaitan fenomena El Nino dan penghijrahan kelawar ke kawasan ladang buah serta ladang ternakan telah meningkatkan interaksi antara hidupan liar, haiwan ternakan serta manusia.
Keadaan itu membuka laluan kepada penularan virus Nipah daripada alam semula jadi ke dalam rantaian makanan, seterusnya kepada manusia.
Jangkitan virus Nipah pada babi boleh menyebabkan demam, batuk, sukar bernafas dan hingus berbuih. Dalam sesetengah kes, berlaku gangguan saraf.
Walaupun kebanyakan babi tidak mati, namun haiwan itu yang dijangkiti menghasilkan virus dalam jumlah tinggi dan menjadi sumber utama penularan kepada manusia melalui kontak rapat.
Jangkitan pada manusia pula bermula dengan gejala tidak spesifik seperti demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan dan muntah. Dalam tempoh beberapa hari, sebahagian pesakit boleh mengalami radang otak teruk, mengalami kekeliruan, perubahan tingkah laku, sawan dan koma.
Sesetengah pesakit turut mengalami masalah pernafasan yang serius.
Penyakit ini boleh berkembang cepat dan membawa maut dalam masa singkat, dengan kadar kematian yang dilaporkan antara 40 hingga 75 peratus.
Pesakit yang terselamat juga berisiko mengalami kesan neurologi jangka panjang.
Selepas tahun 1999, wabak Nipah tidak lagi berlaku di Malaysia, namun virus itu terus mencetuskan kejadian berulang di beberapa negara Asia, khususnya di India dan Bangladesh.
Di India, kebanyakan wabak Nipah dilaporkan di Kerala yang sering dikaitkan dengan pengambilan air nira mentah tercemar disebabkan kelawar buah.
Pengalaman Malaysia telah membentuk pemahaman saintifik global tentang virus Nipah dan kepentingan pendekatan ‘One Health’ iaitu pengurusan kesihatan manusia, haiwan serta alam sekitar secara bersepadu.
Penyakit zoonotik seperti Nipah tidak boleh dikawal melalui rawatan perubatan semata-mata, sebaliknya memerlukan pengurusan ternakan selamat, kawalan pergerakan haiwan, pemeliharaan alam sekitar serta kesedaran orang awam.
Bagi rakyat Malaysia, walaupun tiada kes Nipah dilaporkan ketika ini, namun kewaspadaan orang awam adalah benteng utama pencegahan.
Malaysia berada di kawasan tropika yang menjadi habitat semula jadi kelawar buah.
Tabiat seperti memakan buah yang mungkin telah tercemar atau minum air nira mentah perlu dielakkan.
Langkah pencegahan berkesan adalah membasuh buah dengan teliti, memastikan makanan dan minuman diproses dengan selamat serta mengelak sentuhan haiwan liar atau sakit.
Individu yang mengalami demam, sakit kepala berterusan atau gejala neurologi selepas pendedahan berisiko perlu mendapatkan rawatan perubatan segera.
Kes Nipah di India hari ini mengingatkan kita, biarpun risiko penularan antarabangsa dinilai rendah, namun virus itu masih wujud dan berpotensi muncul semula.
Kesedaran, pengetahuan dan tindakan pencegahan oleh setiap individu adalah kunci untuk melindungi diri, keluarga serta negara daripada ancaman penyakit itu.
Tulisan: Prof. Dr. Nurul Azmawati Mohamed merupakan Pakar Mikrobiologi Klinikal, manakala Prof. Madya Dr. Mohd. Dzulkhairi Mohd. Rani ialah Pakar Perubatan Kesihatan Awam. Kedua-dua mereka daripada Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)














