PETALING JAYA – “Balik Amerika (Amerika Syarikat)? Buat apa?,” itu pertanyaan semula seorang warga Amerika Syarikat yang dikenali sebagai @Muscleboiiofficial di TikTok apabila ditanya mengenai hasratnya untuk kembali ke negara asal selepas menetap di Malaysia.
Menerusi satu video yang tular di platform tersebut, lelaki berkenaan berkongsi keterujaannya tinggal di Malaysia dan mengakui tidak bercadang untuk pulang ke Amerika Syarikat buat selama-lamanya.
“Ya, lelaki Malaysia ini sangat terkejut apabila saya memberitahu dia bahawa saya tidak akan kembali ke Amerika. Saya selama-lamanya di Asia. Saya berada di Malaysia sekarang.
“Negeri terbaik di dunia bagi saya. Lihat betapa cantiknya ini,” katanya.
Dalam video yang dikongsikan, dia turut merakam suasana sekeliling kawasan perumahan elit dan menyifatkan keadaan tersebut cukup mendamaikan.
Menurutnya, keadaan semasa di Amerika Syarikat menyebabkan dia tidak lagi melihat sebarang keperluan untuk kembali ke sana.
“Kembali ke Amerika untuk apa? Apa gunanya? Terlalu banyak penyakit di sana. Terlalu banyak kekacauan. Orang mati setiap hari di sana,” dakwanya.
Dia turut mendakwa wujudnya peningkatan sentimen Islamofobia di negara itu dan berasakan dirinya tidak lagi diterima sebagai seorang Muslim.
“Saya tidak faham mengapa ramai orang Malaysia mahu pergi ke Amerika. Saya datang dari seorang Amerikan yang membesar di sana selama 22 tahun. Awak selamat di sini. Saya mencintai negara awak,” ujarnya.
Dalam pada itu, lelaki tersebut turut meluahkan hasrat untuk membina kehidupan baharu di Malaysia termasuk berkahwin dengan wanita tempatan.
“Saya mahu benar-benar berkahwin dengan wanita Malaysia, insya-Allah. Saya mahu menjaga dia. Saya sudah dapat apartmen, mahu dapatkan kereta.
“Saya mahu dapatkan 40 anak. Saya tidak bergurau,” katanya.
Perkongsian tersebut meraih pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial yang rata-ratanya terhibur dan pada masa sama berbangga apabila Malaysia dipuji sebagai negara terbaik untuk didiami.
“Untuk mengenali Malaysia adalah untuk mencintai Malaysia. Anda telah mengalami dan melihat sendiri bagaimana sifat rakyat Malaysia dan mengapa kami begitu menjaga negara ini. Budaya kami, kepelbagaian serta kemampuan untuk hidup bersama secara aman itulah yang menjadikan Malaysia istimewa,” kata @Marie Squiglypots.
“Kamu sentiasa dialu-alukan di sini,” komen @Noorhamizah85.
“Anda dialu-alukan ke negara kami yang tercinta. Namun, perlu diingat supaya tidak membawa budaya negatif, hormati masyarakat berbilang kaum di sini, kami pasti berbesar hati untuk mengalu-alukan anda (di Malaysia),” pesan Murni Harun. – KOSMO! ONLINE
@muscleboiiofficial Malaysia gave me my freedom back, I don’t have to work like a slave. #malaysia #travel #muslim #asia ♬ original sound – Muscleboii














