LONDON – Sean Dyche muncul pengurus ketiga menjadi mangsa pemecatan Nottingham Forest musim ini selepas kelab itu hanya mampu seri tanpa jaringan dengan pasukan tercorot, Wolverhampton Wanderers di City Ground awal pagi semalam.
Lebih malang, Dyche hanya sempat bertahan empat bulan bersama kelab itu sejak dilantik menggantikan Ange Postecoglou pada 21 Oktober 2025.
“Nottingham Forest mengesahkan Sean Dyche dilepaskan daripada tugasnya sebagai ketua jurulatih. Kami mahu berterima kasih kepadanya dan seluruh kakitangannya sepanjang bersama pasukan.
“Kami mengucapkan selamat maju jaya buatnya. Selebihnya kami tidak akan membuat sebarang kenyataan lanjut,” menurut kenyataan Forest semalam.
Forest kini berada di tangga ke 17 Liga Perdana Inggeris (EPL) dan hanya memiliki kelebihan tiga mata daripada kelompok zon penyingkiran yang kini dihuni oleh West Ham United, Burnley dan Wolves.
Sebagai rekod, pemilik Forest, Evangelos Marinakis sebelum ini mengambil tindakan drastik apabila memecat Nuno Espirito Santo pada 9 September 2025 sebelum Postecoglou menerima nasib sama.
Postecoglou yang musim lalu membantu Tottenham Hotspur menjulang gelaran Liga Europa, gagal teruk di Forest apabila langsung tidak berjaya merakam kemenangan daripada semua lapan perlawanan sehingga ditunjukkan jalan keluar.
Bagaimanapun, Dyche tetap menerima keputusan kelab dengan hati terbuka dan menganggap ia adalah demi kepentingan pasukan yang kini terdesak memperbaiki kedudukan semasa.
“Pemlik kelab sudah berlaku adil kepada saya kerana jika mahukan perubahan, itu adalah keputusan mereka. Saya hanya bekerja keras namun ini juga adalah realiti bola sepak masa kini,” kata Dyche.
Beberapa nama kini dikaitkan dengan posisi itu yang perlu diganti segera kerana Forest masih bersaing di pentas Liga Europa seperti bekas pengendali Manchester City, Roberto Mancini dan Marco Silva (Fulham). – AGENSI














