KOTA TINGGI – Seorang ibu bersama bayinya berusia tiga bulan maut dalam kemalangan di Kilometer 65 Jalan Sungai Rengit – Kota Tinggi di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihak polis menerima maklumat kemalangan melibatkan Perodua Bezza dan lori itu kira-kira pukul 7.20 petang.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori jenis hino dipandu lelaki warga tempatan berumur 60 tahun dan sebuah Perodua Bezza dipandu wanita warga tempatan berumur 24 tahun bersama lima penumpang.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu memasuk laluan bertentangan lalu bertembung lori.
“Dalam kemalangan tersebut, pemandu Perodua Bezza telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala bayi berusia tiga bulan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusof berkata, empat penumpang Perodua Bezza serta pemandu lori sedang menerima rawatan di HKT.
Katanya kedua-dua mayat telah dirujuk ke unit forensik HKT bagi tujuan prosedur
siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, jika disabitkan kesalahan penjara minimum 5 tahun dan maksimum 10 tahun serta denda RM20,000 hingga RM50,000 dan hilang kelayakan memegang lesen memandu selama tempoh tidak kurang 5 tahun,”katanya.-KOSMO! ONLINE














