fbpx
Gambar hiasan

Lelaki Singapura buang puntung rokok tempat awam didenda RM1,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Singapura didenda RM1,500 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana membuang puntung rokok di tempat awam.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu kepada Mohamed Nuh Qursaini Kayat, 25, selaku orang kena saman (OKS) selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya.

OKS juga ditetapkan untuk menjalani perintah khidmat masyarakat selama empat jam dalam tempoh satu bulan selain penjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu telah membuang sisa pepejal iaitu puntung rokok di tempat awam dan bukan di dalam bekas yang diperuntukkan berdekatan sebuah kedai serbaneka di Jalan Bukit Bintang pada 1 Januari 2026, pukul 1.45 pagi.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 77A(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 77A(2) dan sebagai tambahan boleh dikenakan suatu perintah khidmat masyarakat di bawah subseksyen 77B(1) akta yang sama.

Hukuman itu memperuntukkan denda maksimum RM2,000 selain perintah khidmat masyarakat sehingga 12 jam dalam tempoh enam bulan, dengan had maksimum empat jam sehari.

Pegawai Pendakwa Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Muhammad Syarihul Mohd. Dzahir memohon hukuman setimpal dikenakan sebagai pengajaran.

“Selaras dengan hasrat kerajaan untuk menangani isu berkaitan pembuangan sampah kecil merata-rata, pindaan akta telah digubal.

“Hukuman itu dengan hasrat agar dapat memberikan kesejahteraan kepada seluruh masyarakat tentang kepentingan menjaga kebersihan kawasan persekitaran khususnya dan jaga alam sekitar awamnya,” katanya.

Mohamed Nuh Qursaini yang tidak diwakili peguam memohon diberikan hukuman ringan atas alasan kesalahan pertama selain mendakwa tiada tong sampah berdekatan kawasan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN