SHAH ALAM – Mayat dipercayai sepasang kekasih ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila didapati mereput antara satu sama lain dalam sebuah rumah sewa di U13, Setia Alam di sini, semalam.
Penemuan kedua-kedua mayat berusia 36 dan 39 tahun tersebut dimaklumkan salah seorang ahli keluarga mangsa berkenaan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, siasatan awal polis bersama pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mendapati keadaan rumah tersebut bertutup dan tiada kenderaan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan juga menunjukkan pintu besi hadapan rumah berkenaan tidak berkunci.
“Kedua–dua mayat berada di dalam sebuah bilik di tingkat bawah dan mayat mereka telah mereput.
“Tiada sebarang kecederaan pada bahagian tubuh badan kedua-dua simati,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan, mayat wanita dijumpai atas katil manakala mayat teman lelakinya itu berada di atas lantai.
Tegas beliau, hasil permeriksaan awal pada mayat dianggarkan telah meninggal lebih seminggu.
Tambahnya, kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Shah Alam untuk tujuan bedah siasat.
“Setakat ini, kertas siasatan dibuka di bawah mati mengejut (SDR). Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat iaitu Ketua Polis Balai Seksyen 6, Inspektor Izzman Mohd. Idrus di talian 013-4003355,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














