GANDINGAN magis Faisal Halim dan Chrigor Moraes dijangka terus menjadi sandaran buat Selangor FC untuk memburu keputusan positif pada aksi pertama suku akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan FC (NSCFC) di Stadium Tuanku Abdul Rahman malam ini.
Kualiti dua bintang itu terbukti berkesan termasuk ketika membantu Selangor mencatat seri 1-1 dengan BG Pathum United dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) pada Rabu lalu sehingga membawa pasukan ke separuh akhir.
“Saya dan Mickey (Faisal) sentiasa melakukan banyak perkara secara bersama dan saya gembira dapat berikan bola kepadanya dan dia menjaringkan gol,” kata Moraes merujuk kepada jaringan Faisal pada Rabu lalu.
Walaupun cemerlang di pentas antarabangsa, The Red Giants juga harus mengelak daripada sikap lupa diri kerana NSFC mempunyai kemampuan untuk menghadirkan kejutan.
Berdasarkan rekod empat perlawanan lepas, NSFC pernah mencipta kejutan apabila menang dua kali, mengatasi Selangor 2-1 dalam saingan Liga Super, Oktober lalu dan menang 3-2 pada suku akhir kedua Piala FA, Oktober lepas.
Pengendali Selangor, Kim Pan-gon menuntut mentaliti lebih positif mampu dibawa oleh anak buahnya dan mengelak daripada melakukan kesilapan hingga dihukum dengan layangan kad merah seperti aksi menentang BG Pathum United.
“Kekuatan mental membolehkan pasukan mencapai sesuatu, jadi bagi saya keinginan adalah perkara terpenting. Kami juga perlu belajar sesuatu (elak terima layangan kad merah),” katanya yang masih mengelalkan rekod tanpa kalah tujuh perlawanan.














