KLANG – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Port Klang menahan sembilan kontena dari Amerika Syarikat (AS) yang membawa sisa elektronik atau e-waste serta bahan buangan terjadual dengan berat lebih 201 tan di Pelabuhan Klang Barat, di sini hari ini.
Pemeriksaan pada pukul 10.45 pagi itu diketuai Komander Kawalan Pintu Masuk Pelabuhan Klang AKPS, Datuk Nik Ezanee Mohd. Faisal bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM), Lembaga Pelabuhan Klang serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.
Menurut Nik Ezanee, pemeriksaan mendapati tujuh daripada kontena itu tidak diikrar secara sah untuk masuk ke negara ini. Kesemua kontena tersebut membawa dagangan yang menjadi larangan mengimport di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar.
“Lima kontena mengandungi e-waste, manakala empat lagi membawa e-waste bercampur bahan buangan terjadual seperti komponen automotif yang dihancurkan serta besi buruk. Jumlah rampasan adalah seberat 201,303 kilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, barangan yang dirampas terdiri daripada unit pemprosesan komputer (CPU) terpakai, mesin pencetak dan sisa logam bercampur bahan automotif yang berpotensi mencemarkan alam sekitar.
Jelasnya, kontena-kontena e-waste akan ditempatkan di kawasan selamat sementara menunggu notis daripada JAS Selangor dan JAS Pusat bagi tujuan pengeksportan semula.
“AKPS akan meneruskan pemeriksaan ke atas kontena dagangan yang disyaki membawa sisa terlarang. Kami akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi memastikan kedaulatan sempadan dan kepentingan negara sentiasa terpelihara,” katanya. – KOSMO! ONLINE














