fbpx
PELAKON Along Eyzendy kini ditidurkan akibat komplikasi dalaman selepas pembedahan menebuk pundi hempedu.

Jangkitan kuman pada hempedu, Along Eyzendy ditidurkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelakon Along Eyzendy terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Ahmad Shah (HSAS), Serdang susulan tahap kesihatan yang semakin merosot akibat jangkitan kuman pada hempedu.

Menurut isterinya, Hamidah Mohd. Yatim, Along atau nama sebenarnya Mohd. Eyzendy Mohd. Aziz, 47, pada awalnya dimasukkan ke hospital seminggu lalu selepas mengalami gejala demam dan batuk berpanjangan.

Hamidah memaklumkan suaminya menjalani prosedur menebuk pundi hempedu bagi mengatasi jangkitan kuman.

“Semalam, doktor sudah menebuk pundi hempedu bagi mengeluarkan nanah dan memang terdapat darah kotor yang keluar.

“Doktor merancang untuk memberikan antibiotik bagi merawat jangkitan itu.

“Bagaimanapun, doktor terpaksa menidurkannya buat sementara waktu untuk memberi ruang kepada badan Along berehat kerana dia berada dalam kesakitan yang amat sangat sehingga tidak dapat menjalani prosedur skop,” katanya.

Pada masa sama, Hamidah memaklumkan fokus utama pihak hospital ketika ini adalah untuk menstabilkan keadaan Along sebelum prosedur selanjutnya bagi mengenal pasti punca pendarahan dalaman dapat dilakukan.

“Jika dia kuat dan tiada kerosakan pada organ lain, Insya-Allah dia akan sedar dengan cepat.

“Kami berharap pendarahan yang dialaminya tidak serius supaya doktor dapat menjalankan prosedur skop esok untuk mengenal pasti punca pendarahan,” katanya lagi.

Katanya lagi, keadaan pelakon filem Kaki Kitai itu juga dilaporkan tidak stabil apabila bacaan kesihatan pentingnya menunjukkan trend turun naik yang membimbangkan sejak beberapa hari lalu.

“Disebabkan jangkitan itu, tekanan darah, tahap hemoglobin dan bacaan platelet Along turun naik. Ada hari keadaannya baik, namun ada hari semua bacaan tersebut menurun.

“Tadi, semasa doktor sedang memasukkan platelet, tiba-tiba Along tidak sedarkan diri. Apabila dipanggil dan diminta membuka mata, dia langsung tidak memberi sebarang tindak balas,” katanya.

Difahamkan, kesemua ahli keluarga termasuk anak-anak serta saudara-mara dari Machang, Kelantan sudah berada di hospital bagi menemani dan memberi sokongan moral buat Along. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN