fbpx
WARTAWAN sukan Kosmo!, Muhammad Riduan Mohd. Hanafiah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Laporan Berita Terbaik (Media Cetak) pada Malam Anugerah Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) Aeon Credit 2025.

Riduan Hanafiah ungguli Anugerah Berita Terbaik MAM 2025

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Wartawan sukan Kosmo!, Muhammad Riduan Mohd. Hanafiah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Laporan Berita Terbaik (Media Cetak) pada Malam Anugerah Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) Aeon Credit 2025 yang berlangsung penuh gilang-gemilang, malam tadi.

Kemenangan tersebut menyaksikan Riduan berjaya mengenepikan saingan sengit daripada dua rakan media dari akhbar Harian Metro, Saiful Affendy Sapran dan Muhd Ferzalfie Muhamad Fauzi yang turut tersenarai sebagai tiga finalis terbaik bagi kategori berkenaan.

Kejayaan Riduan diraih menerusi artikel laporannya yang bertajuk Qabil Miliki DNA MotoGP selepas pelumba muda negara itu berjuang habis-habisan untuk muncul juara ESBK Talent 2025 pada usia 13 tahun.

Majlis gilang-gemilang yang berlangsung di M Resort & Hotel Kuala Lumpur itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari.

Riduan menyifatkan kemenangan itu sebagai satu penghormatan tertinggi selain berterima kasih kepada Kosmo! kerana memberikan ruang dan kebebasan kepadanya untuk menghasilkan laporan-laporan berkualiti.

“Anugerah ini bukan hanya untuk saya, tetapi untuk semua wartawan yang terus berusaha mengangkat kisah-kisah bermakna kepada masyarakat.

“Terima kasih kepada Kosmo! yang terus menberi ruang kepada saya untuk terus berkarya menghasilkan laporan terbaik,” katanya hari ini.

Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir dalam ucapannya berkata, pengiktirafan kepada pihak media adalah penting sebagai menghargai peranan mereka dalam menyampaikan perkembangan sukan permotoran negara kepada masyarakat.

“Malam ini bukan sekadar meraikan kemenangan. Ia merupakan satu pengiktirafan terhadap disiplin, ketahanan dan profesionalisme di setiap peringkat.

“Dengan 30 kategori anugerah, kami memastikan setiap laluan daripada pembangunan akar umbi hingga ke kejohanan antarabangsa diiktiraf dan dihargai. Platform ini mencerminkan sejauh mana kemajuan sukan permotoran Malaysia, serta hala tuju sukan ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI