LOS ANGELES, California – Penyampai berita popular Amerika Syarikat(AS), Savannah Guthrie menangis dan merayu kepada penculik untuk berkongsi bukti bahawa ibunya yang berusia 84 tahun masih hidup dalam satu klip video dimuat naik di laman sosialnya semalam.
“Kami perlu tahu tanpa sebarang keraguan dia masih hidup dan kamu (penculik) ada bersamanya,” kata Guthrie selepas memberitahu, ‘suara dan imej boleh dimanipulasi’.
Diiringi oleh ahli keluarga, pengacara bersama program pagi Today NBC News berusia 54 tahun itu berucap terus kepada penculik, sambil menangis.
“Kami ingin mendengar daripada kamu dan kami bersedia untuk mendengar.”
Polis Arizona berkata, mereka percaya Nancy Guthrie diculik dari rumahnya di Pima County selepas dia dilaporkan hilang Ahad lepas dalam keadaan mencurigakan.
“Dia tidak keluar dengan sendiri, kami tahu itu,” kata Syerif Pima County, Chris Nanos pada sidang akhbar Isnin lepas, menyifatkan rumah itu sebagai ‘tempat kejadian jenayah’.
Nanos berkata dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman X semalam bahawa “polis belum mengenal pasti suspek atau orang yang berkepentingan lain’ dalam kes itu.– AFP














