SEATTLE – Pasukan tuan rumah, Amerika Syarikat (AS) terus mengekalkan rentak cemerlang pada saingan Piala Dunia 2026 apabila mencatat kemenangan kedua menewaskan Australia 2-0 bagi aksi Kumpulan D di Stadium Seattle awal pagi tadi.
Pada perlawanan tersebut, Amerika yang mendominasi sepenuhnya permainan menjaringkan dua gol menerusi Alex Freeman serta gol sendiri Cameron Burgess.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Mauricio Pochettino menerajui saingan Kumpulan D dengan mengumpul enam mata selepas turut menewaskan Paraguay 4-1 pada perlawanan pertama 13 Jun lalu.
Amerika juga berjaya meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati bagi mengiringi satu lagi pasukan tuan rumah, Mexico yang mengesahkan tempat lebih awal ke pusingan seterusnya.
Walaupun beraksi tanpa kelibat pemain sayap, Christian Pulisic yang belum pulih daripada kecederaan, namun skuad The Stars and Stripes itu masih mampu menguasai 63 peratus permainan selain melakukan lapan percubaan.
Sementara itu, Australia dilihat seolah-olah kurang bermaya apabila gagal memberikan cabaran diharapkan selain ketumpulan jentera serangan turut menjadi punca kekalahan.
Justeru, skuad The Socceroos menggalas misi wajib menang ke atas Paraguay pada aksi terakhir peringkat kumpulan sekiranya memasang hasrat untuk melangkah ke pusingan kalah mati. – KOSMO! ONLINE














