JOHOR BAHRU – Kerajaan Negeri telah mengemukakan permohonan rasmi kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi pelaksanaan operasi pembenihan awan susulan siri kebakaran tanah gambut yang berlaku di beberapa buah daerah di negeri ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, usaha itu sebagai langkah tambahan untuk meningkatkan kelembapan di kawasan terjejas serta menyokong keberkesanan usaha pemadaman kebakaran yang sedang dijalankan.
Katanya, kerajaan negeri amat memandang serius kejadian kebakaran tanah gambut di beberapa lokasi di Johor kebelakangan ini akibat cuaca panas dan kering berpanjangan tanpa hujan melebihi 25 hari.
Menurutnya, setakat ini, terdapat tiga kawasan utama terlibat, iaitu Bakri Batu 13 & 14, Muar, Bio-Desaru, Tanjung Balau, serta Sungai Linau , Simpang Renggam.
“Kesemua lokasi berada dalam keadaan terkawal namun belum dipadam sepenuhnya dan operasi pemadaman dilaksanakan 24 jam tanpa henti melibatkan lebih 300 anggota dari BOMBA, APM, PDRM, JPS, JAS, PBT, JKR dan agensi berkaitan.
“Saya juga telah mengarahkan YB Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor untuk mempengerusikan Mesyuarat Taskforce Khas Kebakaran Negeri Johor bersama Pengerusi-Pengerusi Bencana Daerah.
“Ini bagi menyelaras tindakan semua agensi terlibat, memperkemas keperluan logistik, mempercepat mobilisasi aset serta memastikan pemantauan operasi berjalan secara bersepadu dan berterusan sehingga situasi pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.-KOSMO! ONLINE














