SHAH ALAM – Tindakan terdesak seorang lelaki warga Filipina memujuk anak saudaranya selama tiga hari semata-mata untuk meminjam MyKad bagi bekerja di sebuah kilang besi berakhir dengan penahanan apabila dicekup di Bukit Kemuning di sini, hari ini.
Dia antara 52 warga asing yang ditahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam Ops Metal di premis tersebut pada pukul 2.30 petang bagi membanteras penyalahgunaan dokumen pengenalan diri.
Menurut lelaki warga Filipina yang dikenali Fahad, 26, memaklumkan menggunakan MyKad milik anak saudaranya yang berasal dari Sabah kerana terdesak mencari rezeki.
“Tiga hari saya pujuk anak saudara untuk pinjam MyKad kerana mahu bekerja namun tidak membayar apa-apa.
“Saya tahu perbuatan ini salah, tetapi saya tiada pilihan lain dan baru lebih seminggu bekerja di kilang itu,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JPN, Sarinah Apisah yang mengetuai operasi berkenaan berkata, kesemua 52 lelaki yang ditahan berusia antara 25 hingga 60 tahun, termasuk warga Indonesia.- KOSMO! ONLINE














