fbpx
Saifuddin beramah mesra dengan warga KDN selepas Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Auditorium Setia Perkasa Putrajaya, hari ini. Foto oleh FAISOL MUSTAFA/KOSMO!

Proses pengeluaran MyKad, PMA berada dalam jadual ditetapkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan bahawa proses pengeluaran MyKad dan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu ketika ini berada dalam jadual ditetapkan, namun baki daripada stok lama masih akan digunakan sepenuhnya terlebih dahulu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, meskipun kontrak pembekalan lama telah tamat secara rasmi pada awal Jun lalu, ia tidak menjejaskan operasi pengeluaran dokumen pengenalan diri dan pasport negara.

“Saya cuma sebut bahawa kedua-duanya masih lagi, kita sebut ‘on track’. Bermula 1 Jun, kita masih lagi akan mengeluarkan permohonan, sama ada pasport ataupun kad pengenalan berdasarkan pada stok lama. 

“Kontrak lama itu tamat pada awal bulan Jun, tetapi stok itu masih ada, jadi walaupun kita akan mengeluarkan versi baru, tapi tidak bermakna stok yang bertahan dua hingga tiga bulan itu kita kena musnahkan,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini. 

Media sebelum ini melaporkan, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Badrul Hisham Alias berkata, MyKad Struktur Baharu akan dilengkapi 53 ciri keselamatan berbanding 23 ciri pada MyKad sedia ada.

Beliau berkata, antara penambahbaikan yang diperkenalkan termasuk penggunaan kod QR bagi tujuan pengesahan dan penguatkuasaan, teknologi hologram, teks mikro, ciri keselamatan ultraungu, turihan laser serta cip dengan tahap enkripsi yang lebih tinggi.

Penambahbaikan itu dijangka mampu meningkatkan keupayaan pengesahan identiti, selain mengurangkan risiko pemalsuan dan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sebagai contoh permohonan MyKad bagi kanak-kanak berusia 12 tahun mencecah sekitar 35,000 permohonan sebulan dan kesemuanya akan diproses menggunakan baki stok tersebut buat masa ini.

“Jadi, kita uruskan dengan cara sebarang permohonan MyKad baru, kita akan menggunakan stok lama, misalnya permohonan MyKad untuk anak-anak yang berumur 12 tahun, itu dalam sebulan dalam 35,000 permohonan. 

“Jadi, MyKad ini kita akan keluarkan masih lagi berdasarkan stok lama, kontrak lama, itu yang kita buat dan sehingga selesai yang itu baru lah inisiatif baru akan bermula,” ujarnya. 

Dalam perkembangan sama, beliau turut menyentuh mengenai pelaksanaan pasport Malaysia dengan tempoh sah laku 10 tahun dan mengesahkan perkara itu juga berada dalam perancangan dan tarikh rasmi pelaksanaan akan diumumkan kelak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN