LIVERPOOL – Pemain legenda Liga Perdana Inggeris (EPL), Wayne Rooney memberi amaran kepada penyerang Liverpool, Alexander Isak bahawa kedudukannya dalam kesebelasan utama semakin tergugat.
Ia gara-gara aksi konsisten dipamerkan rakan sepasukan, Hugo Ekitike yang menjalankan tanggungjawab cukup baik bagi mengetuai jentera serangan The Reds sepanjang ketiadaan Isak yang mengalami kecederaan.
Bekas pemain Eintracht Frankfurt itu dianggap antara pembelian berbaloi musim ini apabila dia sudah pun berjaya menjaringkan 15 gol dalam 32 penampilan bersama Liverpool meliputi semua pertandingan.
Rooney berkata, Isak wajar berasa bimbang kerana kedudukannya mungkin terjejas sekiranya pengurus, Arne Slot terus menjadikan Ekitike sebagai pilihan utama meskipun dia sudah pulih daripada kecederaan.
“Sekiranya saya berada di tempat Isak, sudah tentu saya risau apabila hanya menyaksikan Ekitike beraksi. Bagi saya, karier Isak di Liverpool belum benar-benar bermula selepas dia masuk dengan nilai yang sangat tinggi.
“Liverpool merupakan pasukan yang sentiasa melakukan ancaman kepada benteng pertahanan lawan dan mereka memerlukan pemain seperti Ekitike dan Isak. Bagaimanapun, saya lihat Ekitike lebih baik ketika ini,” katanya.
Setakat ini, Isak hanya menjaringkan tiga gol dalam 16 penampilan bersama Liverpool sebelum berdepan masalah kecederaan, namun tugasnya bertambah berat apabila perlu bersaing dengan Ekitike. – AGENSI














