fbpx
SELANGOR hanya memerlukan satu mata untuk layak, namun kemenangan membolehkan mereka muncul juara kumpulan.

Piala ACC: Selangor anggap misi wajib menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELANGOR FC menganggap aksi terakhir peringkat Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) menentang kelab gergasi Thailand, BG Pathum United sebagai pentas final sekali gus wajib menang untuk melunaskan hasrat lolos ke saingan separuh akhir.

Sebagai rekod, skuad Gergasi Merah mendahului carta kumpulan dengan mengutip lapan mata selepas mengharungi empat perlawanan dan keputusan seri sepatutnya sudah cukup untuk mengesahkan kemaraan ke kelompok empat kelab terbaik Asia Tenggara musim ini.

Lebih menarik, Selangor FC berpotensi berdepan seteru tradisi, Johor Darul Ta’zim (JDT) di peringkat separuh akhir nanti sekali gus mencetuskan perlawanan ‘derbi tempatan’ dalam kejohanan bertaraf antarabangsa buat kali pertama.

Situasi ini kerana JDT masih menduduki tangga kedua Kumpulan B dengan 10 mata dan bakal menentang pendahulu, Nam Dinh yang memiliki kelebihan dua mata di Vietnam pada malam esok.

Pengendali skuad Merah Kuning, Kim Pan-gon enggan memikirkan terlalu jauh sebaliknya mahu pasukan fokus untuk meraih tiket automatik ke pusingan separuh akhir dahulu.

“Objektif utama kita kekal untuk melangkah ke pusingan separuh akhir. Saya harap pasukan dapat teruskan rentak positif yang telah dipamerkan sejak beberapa perlawanan lepas.

“Secara peribadi, kita ada peluang yang cerah kerana beraksi di laman sendiri dan saya mahu barisan pemain berjuang sepenuh jiwa di atas padang nanti.

“Saya juga menagih sokongan padu penyokong untuk memberikan suasana yang luar biasa sekali gus menaikkan semangat pasukan dalam misi memburu tiga mata penuh,” kata bekas pengendali Harimau Malaya itu.

Pengurusan Selangor FC pastinya mengharapkan sentuhan Pan-gon dapat membantu pasukan mengakhiri kemarau 16 tahun selepas kali terakhir menjulang trofi pada kempen Piala Malaysia edisi 2015.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN