Rata-rata peminat Manchester United ketika ini sudah boleh tidur lena melihat prestasi semasa pasukan itu yang semakin ok walaupun belum boleh dianggap normal untuk sebuah kelab yang pernah mendominasi Liga Perdana Inggeris.
Pemecatan Ruben Amorim mula diterima dan kehadiran Michael Carrick dianggap ‘ponstan’ dalam usaha untuk memastikan kelab itu tidak mengulangi pencapaian musim lalu.
Ketika Carrick mula menunjukkan kualitinya sebagai pengurus, persoalan yang timbul ketika ini adakah beliau akan diberikan kontrak tetap.
Ramai menganggap dua kemenangan dalam aksi berprofil tinggi, membenam seteru setempat, Manchester City dan calon juara EPL, Arsenal serta terbaharu membenam Fulham, cukup untuk Carrick memenuhi kotak-kotak markahnya.
Namun, bekas kapten United, Roy Keane tetap percaya bahawa kelab itu perlu mendapatkan pengendali yang berprofil tinggi dan meragui Carrick sekali pun beliau mampu memberikan kemenangan untuk pasukan itu sehingga musim berakhir serta layak ke Liga Juara-Juara.
Bagi peminat United, ini bukan drama baharu, episod ini sudah beberapa kali diulang.
Ketika Erik Ten Hag dipecat, mereka melantik Ruud Van Nistelrooy sebagai interim dan berjaya memberikan impak yang baik, namun Amorim dibawa masuk.
Selepas Amorim dipecat, mereka memilih Carrick dan secara tiba-tiba pasukan berubah total, pemain kembali tahu bermain bola sepak, struktur permainan menjadi solid dan intensiti kembali menjadi ‘Manchester United’ yang orang kenali sebelum ini.
Namun, apa yang meresahkan peminat, adakah Ineos dan Glazer akan mengulangi kesilapan sama dengan menamakan pengurus baharu kemudian memberitahu peminat bahawa ‘kami akan bermula semula dengan idea baharu, falsafah baharu, semangat baharu’, tetapi berakhir dengan kekalutan yang sama.
Banyak nama yang dikait untuk jawatan pengurus tetap, standardnya bukan calang-calang, namun jika tersilap pilih ia akan memberikan impak yang bukan sedikit.
United memerlukan individu yang memahami kelab berkenaan, tahu mengenai DNA, mengerti tentang gaya dan tradisi permainan mereka.
Kesilapan Amorim bukanlah terlalu besar, cuba membentuk identiti baharu United menerusi formasi 4-3-3, tetapi itulah padah yang perlu ditanggung ketika tradisi 4-4-2 United tidak boleh diubah.
Carrick pula jika benar-benar bersedia untuk menguruskan United secara tetap, beliau bukan sahaja perlu segar dalam menentukan strategi pasukan, tetapi perlu mewarisi ‘perangai buruk’ bekas bosnya, Sir Alex Ferguson termasuk layanan ‘hair dryer’ terhadap pemain yang besar kepala.
Beliau juga perlu mendapat kepercayaan dari Sir Jim Ratcliffe secara terus tanpa perantaraan Omar Berrada atau Jason Wilcox yang dianggap oleh Nicky Butt sebagai ‘ejen’ Manchester City yang mahu merosakkan United.
Carrick perlu belajar menjadi ‘tuhan’ di Old Trafford seperti mana Ferguson yang secara realitinya cara itu berjaya.















