KOTA TINGGI – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki dipercayai dilanggar bot lain sebelum terbalik dalam kejadian di Perairan Pengerang di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 9.50 malam daripada seorang wanita yang memaklumkan bot nelayan dinaiki suaminya bersama pekerja terbalik.
Ekoran kejadian itu, anggota penyelamat daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Pasukan Polis Marin Wilayah Dua Pengerang digerakkan ke lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati bot jenis fiber yang dinaiki lelaki tempatan berusia 55 tahun dan lelaki asing berusia 32 tahun dilanggar sebuah bot lain yang tidak dapat dikenal pasti. Bot dinaiki mangsa kemudian terbalik.
“Seorang lelaki asing ditemui berpaut pada kayu bot, namun seorang lagi nelayan tempatan masih belum dijumpai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di talian 07-883 7222 atau Pemangku Ketua Polis Balai Pengerang, Sarjan Romeo Usit menerusi 011-10182027. – KOSMO! ONLINE














