KAJANG – Kesedihan sepasang suami isteri yang kehilangan dua anak lelaki akibat lemas Disember lalu sedikit terubat apabila menerima sumbangan Khairat Kematian Anak RM2,000 daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) semalam.
Khairul Ikram Baharin, 47, berkata, dia terharu dengan keprihatinan YGMB dan memaklumkan wang sumbangan itu akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk keperluan keluarga.
Katanya, keputusan menyertai skim YGMB dibuat pada 2023 selepas beliau menguruskan tuntutan kematian arwah ibunya yang juga ahli yayasan berkenaan.
“Dorongan untuk menyertai skim YGMB ini dipengaruhi pengalaman peribadi serta kesedaran tentang kepentingan perlindungan kewangan, terutama selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa,” katanya ketika ditemui sempena Program Ziarah Kasih YGMB di Taman Prima Saujana, di sini semalam.
Sumbangan itu disampaikan Ketua Bahagian Perkhidmatan Ahli YGMB, Rafizah Rahman. Hadir sama, Ketua Bahagian Komunikasi Korporatnya, Rohaya Haron.
Sebelum ini media melaporkan pasangan guru, Khairul Ikram dan isterinya, Noor Suzieana Ibrahim, 47, kehilangan dua anak lelaki, Allahyarham Khalish Shahdan, 14, dan Allahyarham Qayyum Shaqeel, 12, selepas terjatuh dan dihanyutkan arus deras ketika cuba mengambil bola di dalam longkang di Lorong 1/3A, Taman Prima Saujana.
Kedua-dua arwah disifatkan sangat rapat dan sering melakukan aktiviti bersama sejak kecil.
Noor Suzieana berkata, keluarga masih terkesan dengan tragedi itu memandangkan kedua-dua arwah adalah satu-satunya anak lelaki yang dimiliki.
“Kesedihan masih terasa terutama apabila melihat aktiviti sekolah, sukan atau program luar kerana arwah sebelum ini sangat aktif,” katanya.
Sementara itu, Rafizah berkata, YGMB turut bersimpati atas tragedi yang menimpa keluarga berkenaan dan berharap sumbangan itu dapat meringankan beban mereka.
Beliau berkata, skim seumpama itu penting bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pendidik mengenai keperluan perancangan awal dan perlindungan kewangan untuk menghadapi perkara tidak dijangka.














