PETALING JAYA – Cubaan seorang lelaki warga asing menyogok pegawai polis ketika pemeriksaan jalan raya membawa padah apabila ditahan dalam operasi snap check di Sungai Besi, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, polis menerima laporan berkenaan pada pukul 4.07 pagi Ahad.
Menurut beliau, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 pagi ketika pengadu menjalankan tugas snap check di Jalan Suasa 6, Sungai Besi, Cheras.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek lelaki warganegara asing berusia 24 tahun tidak mempunyai lesen memandu B2 dan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Suspek cuba memberi wang sogokan supaya tidak dikenakan tindakan, namun pengadu memberi amaran agar tidak melakukan perbuatan rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, suspek ditahan selepas enggan mematuhi arahan dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/63.
Katanya, permohonan reman terhadap suspek dibenarkan selama 14 hari bermula 2 Februari 2026 hingga 15 Februari 2026. – KOSMO! ONLINE














