DUNGUN – Perbuatan 157 individu menunggang motosikal secara berbahaya di sekitar pusat bandar Dungun di sini membawa padah apabila mereka ditahan pihak berkuasa dalam Ops Samseng Jalanan hari ini.
Kesemua mereka yang ditahan dalam operasi pada pukul 3 pagi dari Jalan Batu 49 sehingga lampu isyarat Alor Tempoyak dan Jalan Lapangan Terbang Sura Hujung di sini berusia 15 hingga 30-an.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, operasi itu dilaksanakan susulan rungutan orang ramai mengenai aktiviti merempit yang semakin berleluasa di bandar Dungun.
Katanya, mereka mendakwa sering terganggu dengan bunyi bising motosikal berlumba terutama pada hujung minggu.
“Seramai 157 penunggang motosikal ditahan dan kenderaan mereka juga turut disita,” katanya di sini hari ini.
Antara kesalahan yang dikesan adalah tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, ubah suai motosikal tanpa kebenaran dan ekzos bising. – KOSMO! ONLINE














