BATU GAJAH – Seorang warga emas berusia 64 tahun ditahan pihak berkuasa di Pusing, Batu Gajah kira-kira pukul 11 malam semalam, berhubung kes khianat terhadap seekor anjing sehingga menyebabkan kematiannya, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md. Noor Aehawan Mohammad berkata, pihaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah menerima laporan daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 39 tahun berhubung kematian anjing tersebut di Pusing.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut dipercayai telah berlaku pada 28 Januari 2026 lebih kurang pukul 7.30 malam apabila penduduk setempat mendengar bunyi letupan yang kuat.
“Mereka mendapati seekor anjing liar telah mati terbaring di atas jalan raya dalam keadaan mulut berlumuran darah di kawasan berhampiran sebuah restoran,” katanya dalam satu kenyataan di Batu Gajah, hari ini.
Md. Noor Aehawan berkata, bertindak atas maklumat tersebut, pihaknya telah berjaya menahan lelaki dipercayai suspek berkenaan di sebuah kedai di Pusing kira-kira pukul 11 malam semalam.
Beliau berkata, permohonan reman ke atas suspek akan dibuat hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














