PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa usaha mengangkat martabat negara dalam sektor pelancongan tidak boleh dipikul oleh kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan penyertaan menyeluruh semua pihak termasuk swasta dan masyarakat.
Menurut beliau, kejayaan industri pelancongan bergantung kepada sikap, layanan serta kreativiti rakyat dalam mencipta tarikan baharu kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.
“Sebab itu kita harus pastikan semua aspek kegiatan kita, pelancongan yang merupakan antara intinya, memerlukan penyertaan semua pihak. Sikap kita, senyuman kita, kerja kita dan kesediaan kita mengolah cara tarikan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Cerita Malaysia Kita sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) di Surf Beach, Sunway Lagoon, di sini hari ini.
Anwar berkata, sektor awam, swasta, badan pelancongan serta syarikat perlu memainkan peranan masing-masing secara positif bagi mencari ikhtiar tambahan untuk mempromosikan negara.- KOSMO! ONLINE.














