Bukan sekadar membudayakan kecaman, sesetengah netizen bertindak mengecam atlet secara melampau ketika kalah bagaikan mereka tidak pernah mencatat kemenangan atau melakar momen-momen membanggakan.

Menang dipejam, kalah dihentam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINGGU lalu usai kemenangan bersejarah Malaysia sapu bersih tiga gelaran juara acara beregu Indonesia Masters 2026, penulis tertarik perkongsian ‘bos’ Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Instagram beliau yang disisip bersama foto kejuaraan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

“Apa cara terbaik nak senyapkan pengkritik? Menang.

“Tetapi realitinya, dalam sukan tiada siapa menang setiap masa. Hari ini menang, esok mungkin tewas. Itu lumrah atlet yang bertanding di peringkat tertinggi dunia. Sebab itu sokongan kita penting.

“Sokong mereka. Jangan ugut, jangan kecam keluarga, jangan serang secara peribadi. Atlet kita bukan sahaja wakil negara – mereka juga manusia biasa yang bekerja keras di bawah tekanan luar biasa. Kalau kita mahu Malaysia terus melahirkan juara, budaya sokongan mesti lebih kuat daripada budaya kecaman,” tulis Presiden BAM itu.

Kalaulah semua orang memahami hal ini, mungkin tidak timbul atlet dikecam dengan teruk bagaikan mereka tidak pernah menang atau menyumbang apapun.

Bayangkan seminggu sebelum itu, media melaporkan Ee Wei menerima kecaman melampau sehingga melibatkan keluarganya daripada netizen ekoran prestasi tidak menentu Juara Dunia itu bersama pasangannya Tang Jie yang sekadar mara ke suku akhir Terbuka Malaysia dan tersingkir di pusingan pertama Terbuka India.

Kemudian sekelip mata, di Indonesia Masters terus rangkul juara. Bukan sahaja Tang Jie-Ee Wei bahkan Malaysia mencatat kejayaan luar biasa musim 2026 apabila seawal Januari tiga gelaran berjaya diperoleh di Istora dengan dua lagi daripada beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah dan beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.

Terdahulu, Pearly-Thinaah juga walau banyak kejayaan telah dilakar termasuk menjadi penyelamat maruah badminton negara dengan membutirkan satu emas di Sukan SEA Disember lalu agak teruk dikecam netizen ekoran tersingkir di Terbuka Malaysia dan gagal ke final Terbuka India.

Sesetengah netizen yang tidak boleh menerima kekalahan mengecam atlet secara melampau ketika kalah seperti ‘terlupa’ kemenangan-kemenangan yang telah dicapai mereka. Ibaratnya jika atlet itu sudah melakar rentetan kejayaan demi kejayaan yang boleh dibanggakan, kalah sekali sudah cukup untuk buat mereka dihamun hebat.

Sesetengah kelompok netizen yang lain pula dilihat bagaikan ‘berpesta’ atas kekalahan atlet, mempersenda dan mengutuk bila tewas seolah-olah mereka tidak pernah tahu atau buat-buat pejamkan mata di saat atlet-atlet badminton ini beroleh kemenangan serta bergelar juara. Bila menang mereka berdiam diri tanpa kata sokongan, bila kalah mereka muncul dan hentam habis-habisan.

Penulis setuju dengan Tengku Zafrul, tidak ada siapa menang setiap masa. Sehebat-hebat beregu lelaki Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae juga ada masanya terhenti juga kemaraannya dengan lawan ranking jauh lebih rendah misalnya Tan Wee Kiong-Azryn Ayub di Terbuka Denmark 2025.

Sekebal-kebal Viktor Axelsen dahulupun pernah dibungkus awalkan oleh pemain bukan pilihan Ng Tze Yong di kejohanan besar seperti All England 2023.

Dalam badminton apatah lagi dengan ‘nature’ kejohanan demi kejohanannya beruntun hari dan minggu, mana-mana pemain No.1 dunia atau pilihan-pilihan utama sesuatu kejohanan juga boleh tumbang. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN